JOHOR BAHRU: Menyedari tidak semua mampu membeli pakaian baharu sempena Aidilfitri tidak lama lagi, Manjalara Fashion Design terpanggil menyediakan pakaian raya Rahmah.
Menariknya pelbagai jenis pakaian raya bersaiz dewasa dan kanak-kanak itu dijual pada harga hanya RM15 sepasang.
Pemiliknya, Nur Fildza Ezleen Salimi, 23, berkata, butiknya yang beralamat di Jalan Tembikai 8, Taman Kota Masai, Pasir Gudang menjadi tumpuan ramai apabila promosi tersebut dihebahkan melalui platform media sosial.
“Sebelum ini saya hanya berniaga secara dalam talian, namun sejak Februari lalu saya mula beroperasi secara fizikal. Tujuan promosi ini untuk membantu penduduk setempat yang terjejas ekonomi mereka.
“Baju raya dijual di kedai ini adalah bercorak dan bersaiz ‘random’ kerana baju baharu yang tidak terjual, rekaan baju juga baharu dan boleh ditemukan di butik-butik,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Pakaian yang dijual di kedainya diambil daripada pelbagai lokasi berlainan di seluruh negara, selain turut disumbangkan oleh rakan-rakan, keluarga dan kenalannya.
Nur Fildza Ezleen mengakui puas melihat pelanggan yang datang dapat membeli pakaian raya untuk seisi keluarga.
“Semua baju dijual di sini adalah baharu bukan pre-love. Insya-Allah saya akan usahakan inisiatif ini agar rak baju raya Rahmah sentiasa penuh,” katanya. – UTUSAN