'Mango bangsawan' hanya muncul sepanjang Ramadan - Utusan Malaysia

‘Mango bangsawan’ hanya muncul sepanjang Ramadan

NOORKHAIRI Noordin menunjukkan air 'mango bangsawan' yang hanya dijual sepanjang Ramadan di bazar Ramadan Bayan Baru, Pulau Pinang baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Sejak tiga tahun lalu, pembeli setia ‘mango bangsawan’ pasti menantikan kemunculan jus mangga istimewa itu yang dijual Mohd. Nor Faiz Nordin, 30.

Ini kerana ‘mango bangsawan’ yang merupakan jus mangga susu asli yang kemudiannya diletakkan ais krim vanila hanya dijual sepanjang bulan Ramadan.

Menurut Mohd. Faiz, setiap hari dia menggunakan 120 kilogram (kg) buah mangga susu yang diperoleh daripada pembekal buah bagi menghasilkan jus mangga asli untuk dijual di bazar Ramadan Bayan Baru dan Bayan Lepas di sini.

”Jus ‘mango bangsawan’ ini hanya menggunakan pati mangga susu asli, saya akan kisar isi mangga susu ini di rumah sebelum membawanya ke bazar untuk dijual.

”Jus mangga ini juga hanya akan dimasukkan gula semasa pelanggan mahu membelinya sahaja kerana saya mahu peminat mangga merasai keenakan jus mangga asli yang segar ketika berbuka puasa,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Faiz berkata, pada mulanya dia hanya menjual mango bangsawan itu di gerai tepi jalan di Sungai Ara ketika bulan Ramadan tiga tahun lalu.

”Permintaan daripada pelanggan memang banyak, namun saya memutuskan hanya menjual jus manga bangsawan ini pada bulan Ramadan sahaja untuk memastikan ia sentiasa istimewa.

”Pelanggan pasti akan mencari jus ini setiap kali Ramadan kerana ia hanya muncul setahun sekali ,” katanya.

Tambahnya, setakat ini dia berjaya menjual sekitar 10,000 gelas ‘mango bangsawan’ yang dijual dengan harga RM5 bagi gelas sederhana dan RM7 bagi gelas besar sepanjang Ramadan ini.

”Ini adalah pencapaian tertinggi saya dan pasukan mango bangsawan sepanjang tiga tahun menjual jus ini ketika Ramadan.

”Saya harap minggu-minggu terakhir Ramadan ini lebih ramai pelanggan yang akan datang merasai sendiri keenakan jus mango bangsawan ini.

”Pada Ramadan kali ini saya berharap dapat menjual sehingga 14,000 gelas jus mango bangsawan kepada pelanggan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya