ARAU: Ibadah puasa mempunyai peranan penting khususnya dalam memupuk hubungan persaudaraan sesama manusia bagi mewujudkan jalinan silaturahim yang lebih baik.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, berikutan itu, rakyat Malaysia dan Thailand juga seharusnya perlu menggunakan kesempatan ini untuk bersatu padu dan bekerjasama dalam mengekalkan hubungan erat.
Titah baginda, menerusi ibadah puasa, umat Islam juga diajar sifat berkasih sayang dan prihatin khususnya terhadap golongan kurang berkemampuan tanpa mengira bangsa mahu pun agama.
“Bagi mengambil keberkatan pada bulan Ramadan yang sungguh istimewa kali ini, kita sebagai penduduk dua buah negara berjiran iaitu Malaysia dan Thailand perlu bersama-sama terus bersatu padu serta bekerjasama,” titah baginda sewaktu berkenan berangkat menjayakan Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) 2023 ke Koh Yao atau dikenali sebagai Pulau Panjang di Wilayah Satun, Thailand, baru-baru ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda bongsu baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda turut disambut oleh Timbalan Gabenor Wilayah Satun yang menjalankan tugas-tugas Gabenor, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Satun dan pemimpin setempat.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, program Ziarah Mahabbah yang dilaksanakan pada setiap tahun bertujuan bagi mengeratkan silaturahim serta keakraban masyarakat Islam dan bukan Islam.
“Malah, ini juga merupakan amalan yang amat dituntut dalam agama Islam,” titah baginda.
Bersempena program itu, MAIPs turut menyumbangkan RM20,000 bagi membaik pulih Masjid Pulau Panjang, RM20,000 untuk dana pembangunan Kompleks Majlis Agama Islam Wilayah Satun, RM5,000 bagi tujuan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan Masjid Puju Satun dan RM5,000 untuk aktiviti dakwah dan kemasyarakatan Masjid Tanjung Gabus Satun.
Di samping itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyerahkan kuih raya untuk diagihkan kepada para petugas sempadan dan sumbangan kuih raya produk tempatan Perlis buat penduduk Pulau Panjang.
Malah, masjid-masjid di Pulau Panjang turut menerima satu unit Purifier Cool Autoreact yang disumbangkan oleh syarikat Dyson melalui baginda.-UTUSAN