Malaysia raih RM170 bilion pelaburan dari China - Utusan Malaysia

Malaysia raih RM170 bilion pelaburan dari China

ANWAR Ibrahim ketika menghadiri pertemuan bersama pemimpin Muslim China dan delgasi perniagaan di China. - FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia meraih pulangan pelaburan sebanyak RM170 bilion daripada pelabur China, menyaksikan pelaburan yang paling tinggi dalam sejarah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, melalui perolehan pelaburan menunjukkan bahawa pelabur dari republik berkenaan yakin terhadap ekonomi Malaysia.

Beliau mengumumkan perkara itu selepas berakhir Forum Perniagaan Malaysia-China 2023, di Beijing, hari ini.

Anwar sebelum itu menyempurnakan majlis iftar Perdana Menteri bersama delegasi perniagaan dan pemimpin Muslim China. Kira-kira 300 ahli perniagaan dari Malaysia dan China hadir pada majlis itu.

Pada majlis berkenaan, beliau turut mengimamkan solat maghrib dan menunaikan solat sunat tarawih di Hotel Boao Golden Coast.

Anwar tiba di China pada Rabu lalu untuk lawatan rasmi empat hari dengan mengetuai delegasi Malaysia ke negara berkenaan.

Jadual Perdana Menteri cukup padat menyaksikan beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping, di Dewan Besar Rakyat, Beijing, semalam.

Ia merupakan pertemuan empat mata pertama dan bersejarah antara kedua-dua pemimpin itu yang mengadakan mesyuarat selama hampir sejam.

Selesai berjumpa Jinping, Anwar bersama delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), Zhao Leji, juga di Dewan Besar Rakyat.

Pada hari pertama ketibaan, Anwar meluangkan masa beramah mesra serta berbuka puasa bersama wakil komuniti Islam setempat dan delegasi Malaysia yang menyertai Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023) di Hainan.

Lawatan itu turut disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya