PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia menentang keras segala bentuk tindakan ketenteraan junta Myanmar ke atas penduduk awam di negara berkenaan semalam.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, serangan udara itu amat tidak wajar dan boleh menjejaskan proses damai menerusi konsensus lima perkara ASEAN.
“Secara umum, kita berasa amat kesal dan menentang sebarang bentuk layanan keras oleh pihak junta kepada orang awam Myanmar sendiri,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga kementerian tersebut dan Kor Diplomatik di sini, hari ini.
Semalam, media asing melaporkan kira-kira 100 orang penduduk kampung di wilayah Sagaing di barat laut Myanmar kerana disyaki menubuhkan pasukan tentera sendiri.
Saksi mendakwa, sebuah pesawat tentera udara junta melepaskan bom pukul 7 pagi waktu tempatan diikuti tembakan berat sebuah helikopter ke atas sebuah dewan komuniti.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, Malaysia menyokong sebarang kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN 2023 berhubung kes berkenaan.
“Secara dasar, ASEAN mengambil berat situasi tegang di Myanmar kerana bimbang ia akan mengancam proses konsensus lima perkara yang dirancang sebelum ini,” katanya.
Krisis politik di negara berkenaan tercetus semula apabila pihak junta bertindak merampas kuasa daripada kerajaan awam yang dipimpin Aung San Suu Kyi pada 1 Februari 2021.
Junta mendakwa kononnya tokoh berkenaan cuba menipu memanipulas dalam proses pilihan raya umum Myanmar pada tahun sebelumnya dan tidak layak menjadi pemimpin. – UTUSAN