Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani beri ruang pemimpin santuni rakyat

Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani beri ruang pemimpin santuni rakyat

Bantuan Aidilfitri
ANJURAN Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani memberi ruang dan peluang kepada Perdana Menteri dan anggota Jemaah Menteri menyantuni rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Anjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani menjadi platform terbaik dalam memberi ruang dan peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anggota Jemaah Menteri menyantuni rakyat.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan memaklumkan, ini kerana rakyat sebelum ini tidak pernah berpeluang untuk meraikan sambutan Aidilfitri bersama pemimpin negara kerana kesukaran untuk berkunjung ke Seri Perdana.

Selaras dengan konsep Malaysia Madani, katanya, penganjuran kali ini juga hasil kerjasama strategik kerajaan negeri selain kementerian peneraju yang turut dilantik bagi membantu pelaksanaan majlis.

Jelasnya, penganjuran oleh Kerajaan Persekutuan hanya melibatkan tiga negeri sahaja iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor pula dianjurkan kerajaan negeri masing-masing.

“Secara keseluruhan, penganjuran kali ini dilihat membolehkan perbelanjaan dilakukan secara berkesan melalui penganjuran secara bersasar, perkongsian sumber, tenaga kerja dan kemahiran melalui kerjasama strategik Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri serta majlis yang turut diadakan bersekali.

“Kaedah penganjuran bersama ini juga diyakini dapat mengukuhkan hubungan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri,” katanya.

Menurut JPM, penganjuran di tiga negeri anjuran Kerajaan Persekutuan mensasarkan jumlah keseluruhan pengunjung sekitar 55,000 orang pengunjung dengan hanya di Kedah berstatus nasional iaitu 25,000 orang pengunjung.

Di Kelantan dan Terengganu pula masing-masing mensasarkan 15,000 orang pengunjung yang mana jumlah penganjuran di Seri Perdana sebelum ini boleh mencecah sehingga 100,000 orang pengunjung.

JPM berkata, orang ramai dijemput hadir ke Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama yang bermula di Kedah esok bertempat di Hotel Raia bermula pukul 10.00 pagi sehingga 2.00 petang.

Sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri di enam negeri yang disifatkan keterlaluan.

Selain itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor turut mengkritik penganjuran majlis itu yang dianggap sebagai program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan tidak wajar diadakan.

Ini kerana, Sanusi berkata, majlis itu melibatkan kos yang tinggi sedangkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini menguar-uarkan langkah penjimatan, justeru Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri seharusnya diadakan di satu lokasi sahaja iaitu di Putrajaya seperti kelaziman sebelum ini.

Selain Kedah, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani bersama Perdana Menteri dijadual diadakan di Pulau Pinang pada 6 Mei, Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan Selangor (14 Mei). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya