SHAH ALAM: Sebanyak RM11.3 juta peruntukan disalurkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi membantu membaiki 26 buah rumah asnaf riqab di negeri ini menerusi Geran Bantuan Pemulihan Riqab dalam program Rumah Pemulihan Riqab (RPR) 2023.
Menurut Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar, sumbangan tersebut termasuklah kos program, pengurusan dan penjagaan asnaf riqab di RPR yang berada di bawah seliaan MAIS bagi tahun 2023.
“Antara RPR yang menerima bantuan ialah Rumah Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-Anak Islam Tersisih Selangor (PAKATs), Rumah Pertubuhan Insan Permata Disayangi (PINTAS), Rumah Teduhan Kasih, Rumah Penawar dan Rumah Sahabat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menambah, sumbangan turut diberikan kepada 1,207 orang asnaf berkenaan berjumlah RM306,000 bagi membantu mereka membuat persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Bantuan yang diagihkan adalah menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab.
Penyampaian sumbangan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Tan Sri Hashim Meon pada Majlis Perasmian Iftar dan Tadarus Perdana Riqab MAIS 2023 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Shahir memaklumkan, sumbangan bertujuan untuk membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan bagi menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan.
“MAIS berharap bantuan yang diberikan dapat digunakan sebaiknya terutama kepada pengusaha RPR bagi membantu rumah terbabit menjalankan tanggungjawab sosial untuk memastikan asnaf riqab tersebut diberi perlindungan, pemulihan dan bimbingan,” ujarnya. – UTUSAN