KUALA LUMPUR: Penyanyi, Liza Hanim lega dengan keprihatinan anak-anak yang peka dan rajin menegur cara berpakaian dan fesyen yang digayakan penyanyi tersebut.
Kata Liza, dia gembira, kerana tindakan itu menunjukkan didikan yang diberikan kepada anak-anak adalah betul.
“Mereka teliti dan rajin menegur kalau cara berpakaian saya tidak bersesuaian dengan imej saya yang berhijab.
“Bahkan, mereka pastikan saya memakai pakaian yang masih menutup aurat ketika bersenam.
“Sebenarnya saya bersyukur dengan keadaan itu kerana ia menunjukkan didikan yang saya terapkan kepada mereka, betul,” katanya kepada pemberita dalam sebuah majlis anjuran Rizman Ruzaini baru-baru ini.
Liza mendirikan rumah tangga pada 2003 bersama bekas anggota kumpulan Indigo, Mohd. Shahrin Mohd. Samsudin.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan lima cahaya mata.
Bagaimanapun penyanyi lagu Gelisah Mimpi itu khuatir sekiranya anak-anak terjumpa gambar-gambar lamanya tidak berhijab ketika membuat carian di Internet.
“Anak-anak perempuan tentu faham sebab mereka membesar dalam fasa saya aktif menyanyi. Mereka melihat perubahan saya.
“Yang membimbangkan adalah anak-anak lelaki kerana mereka kenal saya sebagai ibu, bukan seorang penyanyi.
“Itu merisaukan saya, takut kalau mereka terjumpa gambar lama saya tak berhijab di Internet,” katanya lagi.