SUNGAI SIPUT: Seorang penjawat awam berputih mata apabila wang gaji sebulan lesap selepas mengakses link atau pautan bagi pembelian aplikasi penstriman.
Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd. Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, kejadian bermula selepas lelaki berusia 40-an itu tertarik untuk membeli aplikasi yang diiklankan di Facebook dengan harga murah.
Katanya, lelaki itu kemudian diberikan satu pautan tanpa disedari ia palsu apabila wang simpanannya di bank ditolak tanpa disedari.
“Kejadian pada 25 Mac lalu itu berlaku ketika mangsa mahu membeli aplikasi untuk menonton filem dan video.
“Mangsa telah diberikan satu pautan palsu untuk diakses bagi melengkapkan transaksi. Mangsa menyedari ditipu selepas wang simpanan kira-kira RM3,000 di bank lesap,” katanya ketika ditemui pada program Semarak Kasih Ramadan 2023 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini hari ini.
Pada program itu, kira-kira 1,000 bekas bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai termasuk edaran di masjid, agensi kerajaan dan bazar Ramadan.
Mengulas lanjut beliau berkata, mangsa juga tidak menerima kod pengesahan transaksi (TAC) untuk tujuan pemotongan wang di bank.
“Mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Siput. Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan beliau berkata, lima lokasi lampu isyarat di persimpangan utama di bandar ini akan diletakkan dalam mod ‘amber light’ atau lampu kuning berkelip bermula Rabu depan.
Katanya, pelaksanaan itu adalah pelan pengurusan lalu lintas bagi mengatasi kesesakan bersempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.
“Kebiasaannya untuk musim perayaan, pengguna jalan raya akan menggunakan Jalan Ipoh-Kuala Kangsar sebagai laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selatan khususnya di Terowong Menora.
“Kita jangka jalan Persekutuan ke utara di bandar ini akan sesak berikutan pertambahan kenderaan lebih 200 peratus,” katanya. – UTUSAN