SETIU: Seorang remaja perempuan meninggal dunia akibat lemas ketika bermandi-manda bersama keluarga di Lata Changkah, Kampung Hulu Seladang, di sini, hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Affandi Hussin, kejadian itu berlaku ketika Nor Alia Farhana Mat Zaid, 20, dari Felcra Seri Bandi, Kemaman, sedang mandi-manda bersama enam ahli keluarganya pada pukul 12.15 tengah hari
Menurutnya, insiden itu disedari bapa saudara mangsa berusia 61 tahun yang melihat Nor Alia Farhana tiba-tiba tenggelam ke dasar jeram dan tidak timbul selama beberapa minit.
“Bapa saudara serta beberapa ahli keluarga yang lain kemudian membantu menyelamatkan mangsa dengan membawanya naik ke darat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, penolong pegawai perubatan yang tiba ke tempat kejadian cuba memberi rawatan awal namun Nor Alia Farhana disahkan telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Setiu untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada keluarganya pada pukul 6.30 petang tadi untuk urusan pengkebumian,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, kes kematian remaja itu yang tidak bekerja sebagai mati mengejut. – UTUSAN