DUNGUN: Lelaki yang disyaki membunuh isterinya dengan tukul besi di Kampung Besol, Bukit Besi, di sini, semalam direman selama 7 hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Dungun, Noradila Ab. Latif.
Reman terhadap suspek yang bekerja sebagai tukang rumah akan berakhir pada Rabu depan.
Suspek yang ditahan semalam akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, suspek yang memakai baju lokap polis berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret Dungun dengan menaiki kenderaan polis pada pukul 8.42 pagi.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi semalam, suspek dipercayai memukul isterinya, Rubiah Sabtu, 41, dengan tukul besi di kediaman mereka.
Mangsa yang berniaga kedai runcit cedera parah di bahagian muka meninggal dunia di tempat kejadian.
Difahamkan, suspek memberitahu ahli keluarganya yang tinggal berhampiran kediamannya tentang perbuatannya sebelum ahli keluarganya membuat laporan polis.
Siasatan awal polis, sebelum kejadian, berlaku perselisihan faham antara pasangan tersebut yang baru mendirikan rumah tangga setahun
Pasangan tersebut mempunyai seorang bayi berusia enam bulan manakala Rubiah mempunyai enam orang anak hasil perkahwinan terdahulu. – UTUSAN