Lelaki amuk di balai gigit jari polis hingga putus

Lelaki amuk di balai gigit jari polis hingga putus

JARI anggota polis putus selepas digigit seorang lelaki yang mengamuk di Balai Polis Cheras.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Anggota polis putus jari manis akibat digigit seorang lelaki yang menyerang dan menceroboh Pos Pengawal Balai Polis Sungai Besi, Cheras, dekat sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10.15 malam apabila beberapa anggota polis didatangi seorang lelaki tempatan di hadapan pos berkenaan.

Menurutnya, suspek berusia 34 tahun itu kemudian menjerit sambil mendakwa mahu menyimbah asid sebelum menyimbah air mineral di muka dan badan anggota terbabit lalu meluru ke pekarangan balai polis tersebut.

“Suspek turut membaling satu tin minuman tenaga ke arah dinding kaca sebelah kiri dan mengakibatkannya pecah.

“Keadaan itu menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis ketika mereka cuba membuat tangkapan ke atas lelaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Bagaimanapun, menurutnya, suspek bertindak agresif dengan menggigit jari manis tangan kanan salah seorang anggota polis berkenaan sehingga putus pada bahagian hujung jari. 

“Suspek yang turut mengalami kecederaan ringan berjaya ditahan dan semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai rekod dikehendaki polis berhubung kes penipuan.

“Hasil saringan ujian air kencing dilakukan terhadap suspek didapati positif dadah jenis amphetamin dan methaphetamin,” katanya. 

Tambahnya, suspek difahamkan pernah mendapat rawatan psikiatrik pada 2020 tetapi tidak memiliki sebarang kad rawatan mental.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 21 April depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 90 Akta Polis 1967.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya