ISKANDAR PUTERI: Lebih 10 kawasan di hutan simpan kekal (HSK) di negeri ini dipercayai diteroka oleh Orang Asli serta melibatkan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Penerokaan hutan oleh Orang Asli di kawasan di luar rizab mereka itu dijadikan penempatan serta dibersihkan untuk tujuan perladangan getah dan kelapa sawit berskala besar dan menelan kos yang tinggi.
Pengarah Perhutanan negeri, Datuk Salim Aman menjelaskan,HSK hanyalah kawasan rayau bagi Orang Asli mencari hasil serta berburu bagi kegunaan sendiri dan tidak boleh diterokai bagi tujuan komersial.
“Kita akui memang terdapat kawasan-kawasan HSK yang telah diterokai oleh Orang Asli dan pihak tidak bertanggungjawab, baik bagi tujuan penempatan dan diusahakan aktiviti perladangan kelapa sawit dan getah.
“Kita percaya ada pembabitan orang luar yang menggunakan khidmat Orang Asli untuk meneroka kawasan hutan itu secara berperingkat-peringkat. Kita lihat ia diusahakan secara terancang dengan melibatkan penggunaan mesin dan sebagainya.
“Dan kita tengok pun keadaan ladang sawit dan getah itu memang seolah-olah diuruskan secara terancang, kita boleh bezakan kalau ladang kecil sendiri dan yang diuruskan oleh syarikat besar,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan Silaturahim Ramadan anjuran Johor Economic, Tourism and Cultural Office (Jetco), di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar.
Pada 16 Mac lepas, dalam titah perasmian persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa kerajaan negeri supaya meletakkan semula kawasan penempatan dan rizab Orang Asli di bawah ‘Sultanate Land’ supaya tidak ada pihak yang boleh berbuat sesuka hati.
Baginda menzahirkan kekecewaan berikutan ada segelintir Orang Asli menceroboh kawasan hutan simpan kerajaan untuk dijadikan ladang getah dan kelapa sawit secara besar-besaran serta percaya terdapat orang luar menjadi dalang yang cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan hak Orang Asli sebagai alasan.
Dalam pada itu, Salim berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat untuk disalurkan kepada kerajaan negeri bagi mendapatkan hala tuju dan tindakan seterusnya, namun perlu dilakukan secara berhemah kerana melibatkan isu yang sensitif. – UTUSAN