Laporan tidak tepat kes tuntutan Sulu ancam kedaulatan negara

Laporan tidak tepat kes tuntutan Sulu ancam kedaulatan negara

ZAMBRY Abdul Kadir (kanan) bersama Azalina Othman Said dan Fahmi Fadzil (kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Laman Web Rasmi Malaysia-Sulucase.gov.my di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelancaran laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my membuktikan usaha serius kerajaan menangkis pelbagai fakta salah kes tuntutan oleh waris Sultan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, laporan tidak benar itu juga memburukkan imej Malaysia.

“Justeru laman rasmi ini akan menyanggah laporan tidak benar, putar belit tafsiran sejarah dan tohmahan mereka agar diketahui oleh masyarakat dunia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan laman tersebut yang diterbitkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam pilihan versi lima bahasa, di sini hari ini.

Portal itu juga mendapat kerjasama Kementerian Luar serta Kementerian Komunikasi dan Digital dalam usaha ‘perang saraf’ Malaysia secara lebih agresif berbanding sebelum ini.

Tuntutan bermula apabila sekumpulan warga Filipina mendakwa mereka sebagai waris Sultan Sulu dan menuntut pampasan RM63 bilion daripada kerajaan Malaysia pada 2018.

Asas tuntutan itu namun hanya berdasarkan kepada perjanjian lama antara Kesultanan Sulu dengan wakil Syarikat Borneo Utara British pada abad ke-19 dalam format tulisan jawi.

Walau bagaimanapun, fakta kes mereka tidak begitu kukuh dan sehingga kini belum lagi diketahui sama ada pihak penuntut memang sah waris Sultan Jamalul Kiram II yang asli.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, terdapat kaitan salah seorang penuntut itu yang telah diklasifikasi sebagai pengganas dan terlibat pencerobohan berdarah Sabah pada 2013.

“Pada masa sama, kerajaan membentuk Sekretariat Khas yang akan mengambil tindakan melalui media dan hubungan diplomatik untuk menangkis tohmahan mereka,” katanya.

Tambahan pula, ramai warganet didapati kurang faham naratif dan kronologi kes sebenar apabila tuntutan itu dibicarakan di mahkamah beberapa negara Eropah akhir-akhir ini.

Justeru beliau berharap warga Malaysia yang mengikuti kes itu dapat berkongsi mengenai segala fakta dipaparkan laman tersebut demi mempertahankan kedaulatan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya