LUMUT: Perbarisan sempena sambutan Hari Ulangtahun Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-89 hari ini melakar sejarah tersendiri apabila buat julung kalinya lapan Panji-Panji Rejimen pasukan itu terlibat serentak di dalam satu acara.
Lapan Panji-Panji itu ialah dari Kapal Diraja (KD) Pelandok, KD Malaya, KD Panglima Hitam, KD Sri Sandakan, KD Rajawali, KD Sri Semporna, KD Duyong dan Skuadron Frigate Ke-23, selain lapan kontinjen lain.
Isitadat perbarisan yang diadakan di Padang Kawad KD Pelandok, Pangkalan TLDM Lumut itu melibatkan 61 pegawai dan 812 anggota diketuai oleh Komander Lim Kim Tat serta dibantu oleh Pancaragam Pusat TLDM yang dipimpin oleh Leftenan Komander Mohd Shamram Ramli.
Upacara perbarisan yang penuh istiadat itu disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob.
Dalam ucapannya, beliau yang berpuas hati dengan penglibatan buat pertama kali lapan kontinjen Panji-Panji Rejimen dalam istiadat itu berharap ia dapat diteruskan pada sambutan tahun depan.
Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Sabri Zali; Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md. Ajis dan Panglima Armada Timur, Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.
Bersesuaian dengan tema sambutan iaitu ‘TLDM Siaga, Kedaulatan Terpelihara’, pameran statik aset pertahanan dan sokongan turut diadakan melibatkan dua helikopter Operasi Maritim (HOM) dari Skuadron 503, Kota Kinabalu, Sabah; dua ‘Loader’ dan sebuah lori Bomba TLDM; dua motosikal ‘scrambler’ dan dua ‘Rigid Hull Inflatable Boat’ (RHIB) Pasukan Khas Laut (PASKAL).
Abdul Rahman turut menyempurnakan upacara penyampaian piala dan anugerah kepada unit dan warga yang cemerlang sepanjang tahun lalu serta menganugerahkan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) kepada 40 pegawai dan anggota TLDM yang terlibat dalam Op Daulat berikutan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Sambutan kali ini juga dimeriahkan dengan Majlis Jamuan Aidilfitri Peringkat TLDM di Auditorium M.Sidek Shahbudin, KD Pelandok. – UTUSAN