LUMUT: “Sejak beberapa hari lalu, adik saya kurang bercakap berbanding kebiasaannya.
“Malah ketika kami mengadakan moreh baru-baru ini, dia beritahu macam tiada deria rasa ketika menjamah makanan,” kata Amirul Razmi, 26, ketika ditemui di Hospital Seri Manjung di sini hari ini.
Amirul ialah abang kepada Aqil Rasydan, 20, yang ditemukan maut selepas lori dipandunya terjatuh ke dalam laut di jeti Lumut Maritim Terminal, Lumut Port, Kampung Acheh, Sitiawan, awal pagi tadi.
Menurut Amirul, sebelum kejadian itu juga, maklumat daripada rakan sekerja arwah memaklumkan Aqil Rasydan mengasingkan diri dan bersahur seorang diri.
Jelasnya, ini berbeza sebelum ini apabila adik bongsunya daripada tiga beradik itu sering bersahur bersama rakan sekerja apabila bekerja syif malam hingga pagi.
Amirul memberitahu, arwah baru kira-kira dua bulan bekerja sebagai pemandu lori di syarikat lori milik bapa mereka, Razmi Abdullah, 49, yang mendapat kontrak membawa barang di kawasan pelabuhan tersebut.
Dia juga dimaklumkan ketika kejadian lori dipandu arwah ada membawa muatan dan terjatuh ketika sedang membelok di kawasan jeti di pelabuhan tersebut.
Amirul bagaimanapun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat punca sebenar kejadian itu berlaku.
“Arwah baru-baru ini juga menunjukkan rasa teruja untuk membeli baju raya, tetapi bila tanya mahu beraya di mana, dia sendiri tidak tahu dan sambil bergurau menyatakan mungkin beraya di tempat kerja,” jelasnya.
Jenazah Aqil Rasydan dikebumikan di Kampung Masjid Lama, Beruas, selepas solat Asar.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi tadi, Aqil Rasydan ditemukan lemas apabila lori yang dipandunya terjunam ke dalam laut di jeti Lumut Maritim Terminal.
Mangsa ditemui di dalam kabin tempat duduk pemandu lori tersebut apabila kenderaan itu berjaya dinaikkan kira-kira pukul 9.45 pagi, lebih kurang empat jam selepas kejadian itu dipercayai berlaku. – UTUSAN