CYBERJAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersedia untuk mewujudkan kuota khas bagi mewajibkan stesen televisyen tempatan wajib menyiarkan animasi Malaysia.
Garis panduan itu yang menurut menterinya, Fahmi Fadzil, seumpama skim Wajib Tayang untuk filem tempatan disiarkan di semua pawagam negara ini sejak 2005 yang dikuatkuasakan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
“Saya bersetuju dan secara prinsip menyokong syor itu kerana satu polisi sedemikian perlu dipertimbang agar hasil animasi kita dapat ditonton rakyat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi Town Hall Industri Kreatif Siri Kedua: Kandungan Digital dan Teknologi Kreatif yang disertai hampir 400 peserta di sini hari ini.
Ketika soal jawab, Pengarah Urusan Les Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Md. Radzi membangkitkan isu stesen televisyen swasta enggan membeli karya domestik dengan mendakwa siri popular syarikat tersebut, Upin & Ipin amat mahal menyebabkan beliau menjualnya kepada stesen di Indonesia.
Perkara sama turut disentuh beberapa peserta lain yang mendakwa program keluaran mereka amat sukar untuk menembusi pasaran Malaysia tetapi tidak pula di luar negara.
“Kita simpati dengar nasib pengusaha animasi itu yang macam disisih negara sendiri namun saya akan bincang dengan semua operator penyiaran untuk cuba bantu,” katanya memberi gambaran membawa isu ini kepada Kementerian Kewangan agar syarikat animasi diberikan insentif menjual kepada stesen di negara ini.
Langkah tersebut diharapan boleh dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 dan pada masa sama, disediakan dana untuk karya tempatan dipasarkan di luar negara.
Buat permulaan ujar Fahmi, pihak KKD berhasrat animasi domestik dapat menguasai pasaran rantau Asia Tenggara yang amat berpotensi luas dengan 660 juta penduduknya.
Ditanya apakah benar karya tempatan amat mahal untuk dibeli stesen tempatan, beliau tidak menolak isu itu ada kaitan situasi ekonomi menyebabkan operator kekurangan dana.
Justeru, pihak stesen terbabit lebih berminat membeli pelbagai program animasi dari luar negara cukup murah secara sindiket kerana ia dianggap lebih praktikal buat masa ini. – UTUSAN