Krisis Sudan: Malaysia bantu pindah 5 warga asing, 2 rakyat kita ke lokasi selamat

Krisis Sudan: Malaysia bantu pindah 5 warga asing, 2 rakyat kita ke lokasi selamat

KEPULAN asap hitam kelihatan di ruang udara bangunan berhampiran kawasan lapangan terbang di Khartoum, Sudan. - AFP 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Sudan berjaya membawa keluar lima warga daripada tiga negara Barat dengan dua rakyat Malaysia ke lokasi yang selamat semalam.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, warga asing itu masing-masing terdiri dua rakyat Kanada, dua rakyat Britain dan baki seorang rakyat Amerika Syarikat.

“Alhamdulillah, setelah penilaian mendalam dan dengan mandat Pasukan Khas Wisma Putra, pegawai kedutaan kita berjaya bawa mereka keluar,” katanya menerusi kenyataan.

Krisis perang saudara meletus semula di Sudan pada 15 April lalu antara pasukan askar kerajaan (SAF) dan militia separa separa tentera dikenali Rapid Support Forces (RSF).

Malahan, Kedutaan Besar Malaysia yang terletak dalam Kompleks Petronas Sudan turut ditawan pemberontak dan memaksa operasi diplomatik dipindahkan ke kediaman duta.

Kementerian Luar turut membentuk Pasukan Khas pada hari pertama krisis tersebut yang disertai pelbagai agensi bagi menilai perkembangan semasa serta risiko keselamatan.

Walau bagaimanapun usaha pemindahan 32 warga Malaysia berdaftar dengan pihak kedutaan amat sukar apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum dikuasai oleh RSF.

Terminal udara itu yang merupakan satu-satunya akses tunggal untuk rakyat asing keluar dianggap berbahaya dengan banyak pesawat awam dibedil ditembak pihak bertelagah.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, operasi pemindahan itu adalah sebagai misi persediaan pihak kedutaan mengumpul semua warga Malaysia di satu lokasi selamat untuk keluar.

“Saya ingin memaklumkan bahawa meskipun operasi ini amat berisiko tinggi, namun ia perlu dibuat bagi menjamin keselamatan rakyat kita yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan laporan terkini mengenai pertempuran antara SAF dan RSF yang makin meruncing di kebanyakan lokasi di sekitar ibu kota Khartoum sepanjang masa.

Justeru, seperti dinyatakan menerusi kenyataan sebelum ini, situasi Sudan amat rumit dan boleh berubah setiap masa dengan pihak bertelingkah masih meneruskan pertempuran.

Bahkan, ujar beliau memberi contoh gencatan senjata ditaja Pertubuhan Bangsa Bersatu, Kesatuan Afrika dan Pertubuhan Kerjasama Islam pun langsung tidak dipatuhi mereka.

Senario berkenaan menyukarkan usaha pemindahan warga Malaysia malahan perkara sama turut dialami banyak negara lain apabila rakyat mereka terkandas di lokasi berbahaya.

Pada masa yang sama, Zambry menyeru warga Malaysia memanjatkan doa dan memohon kepada Tuhan agar dapat melindungi keselamatan rakyat negara ini berada di Sudan.

“Marilah kita juga berharap supaya operasi bagi membawa kesemua mereka itu pulang dengan selamat ke tanah air dipermudahkan-Nya,” tambah beliau lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya