JAKARTA: Penyanyi terkenal, Krisdayanti bakal mengeluarkan semula lagu hits pada era 2000 berjudul Mencintaimu dengan memberikan sentuhan baharu terhadap karya tersebut.
Lapor Suara.com, Krisdayanti berkata, dia mahu karya baharu tersebut dapat dinikmati generasi muda setelah 23 tahun lagu tersebut berada dalam industri muzik.
“Lagu ini mempunyai susunan dan video klip yang bagus. Jadi, selepas 23 tahun lagu ini kembali ke persada muzik, ia perlu dibuat dengan lebih hebat lagi.
“Ini juga adalah bentuk penghargaan kepada ramai peminat yang begitu mencintai lagu ini,” katanya.
Krisdayanti berkata, sentuhan lagu baharu tersebut masih menggunakan khidmat Erwin Gutawa dan Rizal Mantovani bagi proses penyusunan lagu dan penghasilan video klip Mencintaimu.
“Erwin adalah produser muzik konsert saya pada 2000. Kalau mahu buat video klip yang hebat adalah sama Rizal.
“Kalau mahu karya yang bagus, saya perlu tahu bekerja sama siapa,” katanya.
Dalam masa sama, Krisdayanti bercadang menghasilkan sebuah album mini yang mengandungi tiga lagu termasuk Mencintaimu.