PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan makanan adalah mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri minggu hadapan, terutamanya melibatkan 30 jenis barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan segera sekiranya terdapat laporan kekurangan bekalan berlaku di mana-mana lokasi.
“Insya-Allah bekalan cukup pada (Aidilfitri) tahun ini dan laporan bahagian dasar (KPKM) tentang telur, ayam dan ikan semuanya mencukupi.
“Kalau tidak cukup (bekalan) di sesuatu tempat itu, ia bukan lah menyeluruh di seluruh negara, pihak FAMA akan memerhati dan bertindak segera, kalau berlaku kekurangan di mana-mana tempat.
“Itu yang kita beri jaminan, soal harga itu ditentukan oleh KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup), tapi kita dari segi bekalan, cukup,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Menteri bersama warga KPKM sempena Ramadan Tahun 2023 di sini hari ini.
Terdahulu, sebanyak 30 jenis barangan ditetapkan menerusi SHMMP Hari Raya Puasa 2023 selama 16 hari yang akan bermula Sabtu ini sehingga 30 April depan.
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebanyak 24 jenis barangan dikawal di bawah skim berkenaan termasuk enam jenis barangan daripada jenis ayam dan telur di bawah penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam yang sedang berkuat kuasa sejak 5 Februari lalu. – UTUSAN