KPDN Pulau Pinang terima 2,769 aduan, selesai 276 kes - Utusan Malaysia

KPDN Pulau Pinang terima 2,769 aduan, selesai 276 kes

ABDUL HALIM Hussain (tiga dari kanan) bersama S. Jegan (tengah) ketika sesi 'walkabout' dan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 276 kes atau aduan atas pelbagai kesalahan telah diambil tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang untuk tempoh antara 1 Januari hingga semalam.

Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, ia susulan pemeriksaan yang dijalankan terhadap 17,935 premis di seluruh negeri dengan nilai sitaan berjumlah RM1.8 juta selain kompaun sebanyak RM443,600.

“Untuk tempoh yang sama juga, KPDN Pulau Pinang menerima sebanyak 2,769 aduan dengan 421 daripadanya melibatkan aduan berhubung harga barang dan perkhidmatan, 65 aduan berkaitan barang kawalan dan selebihnya iaitu 2,283 adalah lain-lain aduan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas sesi ‘walkabout’ dan pemantauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa bersama Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Abdul Halim Hussain di Mydin Bukit Mertajam di sini, hari ini.

Skim itu yang dilancarkan bermula Sabtu lalu hingga hujung bulan ini melibatkan 21 jenis barang kawalan termasuk daging kerbau import, daging lembu tempatan, ikan kembung (termasuk mabung) serta ikan selayang.

Barangan kawalan lain termasuk tomato, cili merah, kubis bulat import, kacang panjang, timun, sawi hijau, halia tua import, pelbagai jenis bawang, ubi kentang import, cili kering kerinting, kacang tanah, kelapa biji serta kelapa parut.

Dalam pada itu, Jegan memberitahu, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung pelanggaran skim harga kawalan maksimum itu dalam kalangan peniaga di negeri ini untuk tempoh empat hari pertama pelaksanaannya setakat ini.

“Kita telah menggerakkan serta menempatkan seramai 122 pegawai penguat kuasa dan 66 pegawai pemantau harga di lokasi-lokasi strategik seperti di pasar-pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah.

“Strategi ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan dan tindakan segera dapat diambil terhadap peniaga tertentu sekiranya dikesan berlaku sebarang ketidakpatuhan,” katanya.

Tambah Jegan, pihaknya turut memberi jaminan bekalan untuk semua barang kawalan yang disenaraikan adalah mencukupi sehingga Aidilfitri nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya