Kompleks Petronas Sudan jadi markas RSF, 32 warga Malaysia selamat di 7 lokasi

Kompleks Petronas Sudan jadi markas RSF, 32 warga Malaysia selamat di 7 lokasi

ZAMBY Abd. Kadir dalam sidang akhbar khas situasi di Sudan di Kementerian Luar, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pasukan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF) sudah menjadikan Kompleks Petronas Sudan di ibu kota Khartoum yang ditawan sebagai markas induknya.

Memaklumkan berita menyedihkan itu, Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, aras bumbung kompleks yang terletak di Nile Avenue itu, diubah menjadi pos pemerhatian bagi memantau pergerakan tentera kerajaan.

Ekoran perkembangan tersebut, Kementerian Luar semalam bertindak memanggil Duta Besar Sudan ke Malaysia, Hassan Abdelsalam Omer untuk menyatakan bantahan keras.

“Beliau sendiri beri jaminan pihak kerajaan Sudan sedia melakukan apa-apa sahaja untuk diambil balik Kompleks Petronas daripada RSF dan kesal dengan apa berlaku,” katanya dalam sidang akhbar khas mengenai situasi semasa di Sudan hari ini.

Negara di timur benua Afrika itu bergolak semula ekoran pertempuran meletus antara tentera kebangsaan Sudan dengan RSF pada Sabtu lalu yang sudah meragut 185 nyawa.

Susulan perang saudara yang tidak dijangka itu, Wisma Putra segera mengaktifkan satu Pasukan Khas melibatkan pelbagai agensi bagi menilai perkembangan semasa di sana.

Malahan, operasi Kedutaan Besar Malaysia di No.13, Block 7, Kompleks Petronas Sudan sudah dipindahkan buat sementara waktu ke kediaman rasmi duta di Al-Riyadh District.

Menyentuh keberadaan seramai 32 warga Malaysia di sana, Zambry menyatakan bahawa kesemua mereka disahkan selamat di tujuh lokaliti berbeza termasuk di luar Khartoum.

Sebahagian besar mereka merupakan pelajar di pelbagai institusi pengajian tinggi di negara tersebut bahkan keselamatan rakyat Malaysia turut dijamin penduduk tempatan sendiri.

Pada masa sama, beliau bersyukur kerana pihak kedutaan berjaya menambah stok ubat dan bekalan makanan yang mampu bertahan selama dua minggu untuk warga Malaysia.

Bercakap mengenai usaha pemindahan mereka, Zambry berkata, Pasukan Khas Wisma Putra sedang berusaha mencari laluan dan masa terbaik untuk melakukan misi evakuasi.

Bahkan ujarnya, selaras keputusan mesyuarat mingguan Kabinet hari ini, kerajaan sedia bekerjasama dengan beberapa negara sahabat untuk bantuan pesawat khas terus ke sana.

Kerajaan belum berhasrat menghantar pesawat kerana amat berisiko ditembak dan suasana tidak seperti Ops Piramid yang memindahkan 8,341 warga Malaysia di Mesir pada 2011.

“Satu-satunya laluan akses keluar ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum tetapi situasi di situ amat bahaya dengan banyak pesawat luar dibedil oleh pihak RSF,” katanya.

Justeru beliau berharap, kedua-dua pihak bertelagah dapat mengadakan rundingan damai atau paling kurang gencatan senjata bagi memindahkan warga Malaysia keluar dari situ. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya