SHAH ALAM: Kajian perubatan tradisional di negara ini perlu ditingkatkan dan ditetapkan garis panduan khusus bagi memperoleh pengiktirafan pertubuhan kesihatan antarabangsa.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) kini mengambil inisiatif memperkenalkan Garis Panduan Mengenai Kajian Perubatan Tradisional (T&CM) untuk mengangkat kaedah perubatan tersebut.
“Perubatan dan ubat tradisional adalah perubatan yang diamalkan di negara ini sekian lama. Jadi kementerian melihat perlunya pengenalan garis panduan tersebut supaya industri perubatan tradisional ini dapat lebih berkembang di dalam negara,” katanya dalam majlis pelancaran Garis Panduan T&CM di Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini, hari ini.
Beliau menambah, pelbagai aspek dimasukkan dalam garis panduan tersebut seperti penyediaan data mengenai jenis bahan yang digunakan, kaedah perubatan itu dijalankan, kajian saintifik penyembuhan sesebuah penyakit, amalan setiap hari dan sebagainya.
Jelas Dr. Zaliha, dengan kajian secara saintifik dapat menyakinkan orang ramai untuk menggunakannya sebagai rawatan alternatif sekiranya tiada kaedah moden dapat menyembuh penyakit dihadapi mereka.
“Apapun, keberkesanannya itu perlu dibuktikan secara saintifik supaya boleh diterima oleh majoriti rakyat Malaysia.
“Justeru itu, KKM akan bekerjasama dengan pakar perubatan itu supaya mereka boleh mengikut Garis Panduan T&CM bagi mengembangkan industri berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha menzahirkan penghargaannya kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang sentiasa memberikan sokongan kepada kementerian sepanjang mereka merangka garis panduan tersebut.
Beliau berharap lebih ramai pakar perubatan tersebut di negara dapat menyokong usaha yang dijalankan kerajaan ketika ini. – UTUSAN