KKM arah tarik balik dua produk mi segera

KKM arah tarik balik dua produk mi segera

Kementerian Kesihatan mengarahkan produk mi segera Mi Kari Putih Penang Alai dari Malaysia dan Mi Segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial dari Indonesia ditarik balik dari pasaran. - Gambar KKM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua produk mi segera iaitu Mi Kari Putih Penang Alai dari Malaysia dan Mi Segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial diarah untuk menarik balik penjualannya dari pasaran.

Ini susulan Pihak Berkuasa Kesihatan Taiwan mendapati terdapat ethylene oxide dalam kedua-dua produk tersebut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, ethylene oxide adalah sebatian gas kimia yang karsinogenik dan sering digunakan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga.

Katanya, ia juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

“Bagi sampel Mi Kari Putih Penang Alai, persampelan di Malaysia mendapati ia mematuhi perundangan.

“Meskipun begitu, bagi memastikan kawalan keselamatan makanan yang berterusan, pihak kementerian telah mengeluarkan arahan kepada pihak syarikat untuk penarikan balik secara sukarela produk Mi Kari Putih Penang Alai bagi batch berkaitan yang mempunyai tarikh luput 25 Ogos 2023 dari pasaran tempatan sekiranya ada,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga mengesahkan bahawa terdapat kemasukan produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial keluaran negara Indonesia ke negara ini, berdasarkan semakan data dari Food Safety Information System of Malaysia.

“Dalam hal ini, kami telah mengeluarkan arahan untuk tindakan Tahan, Uji dan Lepas bagi produk mi segera jenama Indomie Perisa Ayam Spesial di semua pintu masuk negara dan meminta pihak syarikat menarik balik secara sukarela produk terlibat dari pasaran,” katanya.

Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan

Bagaimanapun, Muhammad Radzi menjelaskan, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan pemantauan keselamatan makanan yang berterusan ke atas produk makanan berkaitan yang dijual di pasaran tempatan mahupun yang diimport, lanjutan daripada isu penarikan semula produk Mi Sedaap keluaran negara Indonesia yang mengandungi ethylene oxide pada tahun lalu.

“Hasil pemantauan dari 2022 sehingga kini ke atas 36 sampel produk mi segera pelbagai jenama di pasaran tempatan, didapati 11 sampel produk Mi Sedaap telah mengandungi ethylene oxide dan tindakan penguatkuasaan telah diambil.

“Tindakan yang diambil termasuk kompaun, tindakan mahkamah dan penarikan balik produk dari pasaran. Pihak kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Pengguna dinasihatkan tidak mengambil atau memakan produk terlibat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya