KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Hasbie Muda dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada pertuduhan berkaitan dengan perhimpunan membantah kenaikan harga barang di ibu negara, pertengahan tahun lalu.
Majistret Wong Chia Sia memutuskan demikian selepas mahkamah dimaklumkan bahawa representasi yang dihantar oleh pembelaan yang mewakili Mohd. Hasbie yang juga Senator Dewan Negara telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam bela, Muhammad Faiz Fadzil ketika dihubungi media.
“Pihak kami telah menghantar representasi pada 17 Mac lalu memohon agar AGC menarik balik pertuduhan terhadap anak guam kami. Pihak pendakwaan telah mendapat arahan daripada AGC untuk menarik balik pertuduhan,” katanya.
Peguam itu dalam satu kenyataan media menyifatkan keputusan tersebut merupakan satu permulaan positif kerajaan Madani yang menghormati hak dan kebebasan sivil untuk berhimpun serta menyatakan pandangan sepertimana dinyatakan dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.
Pada 18 Ogos 2022, Mohd. Hasbie selaku penganjur perhimpunan didakwa gagal memaklumkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah Dang Wangi, lima hari sebelum mengadakan perhimpunan di Masjid Jamek, Kampung Baru, Jalan Raja Alang di sini pukul 2 petang, 1 Julai lalu.
Pertuduhan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 9 (5) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000. – UTUSAN