KUALA TERENGGANU: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (KeTSA) bersiap siaga menghadapi kemungkinan berlaku fenomena jerebu berikutan cuaca panas yang melanda Semenanjung negara pada masa ini.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah tersebut diambil selepas beberapa kawasan menunjukkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada paras tidak sihat.
Menurutnya, KeTSA akan melakukan pemantauan di kawasan-kawasan yang ‘sensitif’ seperti tanah gambut, kawasan yang mudah terbakar dan lokasi yang sering berlaku pembakaran terbuka.
“Ada kemungkinan (berlaku jerebu) dan kita (kementerian) akan mengadakan mesyuarat tentang isu jerebu ini dalam masa terdekat.
“Sebenarnya kita sudah ada sistem untuk bersiap sedia menghadapi jerebu cuma dalam dua atau tiga tahun ini sebab Covid-19, jadi bila isu Covid-19 ini kita tengok masalah pembakaran dan sebagainya kurang, (aktiviti) industri pun kurang jadi kali ini keadaan sudah kembali sedia kala jadi kita bersedia untuk berdepan dengan fenomena tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar di sini, malam ini.
Akhbar semalam melaporkan fenomena bahang cuaca panas yang melanda Semenanjung negara adalah disebabkan pemanasan permukaan bumi akibat sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, setakat Rabu, suhu maksimum harian merekodkan 37 darjah Celcius melibatkan negeri-negeri utara Semenanjung dan pedalaman Kelantan dan Pahang.
Selain itu, Nik Nazmi memberitahu, persiapan tersebut juga melibatkan bekalan air dan penglibatan Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam memastikan kebakaran dapat dikawal dan dipadam dengan segera bagi mengelakkan berlaku jerebu lebih buruk. – UTUSAN