ALOR SETAR: Sebanyak 169 kes Covid-19 dicatatkan di negeri ini pada minggu epidemiologi ke-14 tahun ini yang bermula 2 hingga 8 April lalu, sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 141 peratus berbanding minggu sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd Hayati Othman berkata, majoriti kes dilaporkan dikesan melalui saringan bergejala dan menunjukkan gejala ringan.
Menurutnya, peratus harian pengisian katil biasa dan rawatan rapi yang diperuntukkan untuk kes-kes Covid-19 pada minggu tersebut, masih berada pada paras 10 peratus.
“Pada minggu sama juga, Kedah telah melaporkan satu kluster pendidikan di asrama sebuah institusi pengajian tinggi di Kulim. Kluster ini melibatkan 47 kes positif terdiri daripada para pelajar warganegara Malaysia.
“Kes-kes dalam kluster ini mengalami gejala ringan dan telah menjalani kuarantin di asrama. Tiada kes dimasukkan ke wad. Penularan kes dalam kluster ini kini terkawal dan berada di bawah pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah Kulim,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Tambahnya, masyarakat tidak perlu bimbang walaupun berlaku peningkatan kes, namun perlu berwaspada dengan mengambil langkah pencegahan penularan Covid-19.
“Orang ramai dinasihati memakai pelitup muka ketika berada di tempat sesak seperti bazar Ramadan, pasar dan pasar raya. Amalan pemakaian pelitup muka di surau adalah digalakkan. Selain itu, orang ramai juga disarankan agar terus mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek),” katanya.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah akan terus memantau perkembangan situasi pandemik Covid-19 dalam dan luar negara dari semasa ke semasa bagi melaksanakan langkah-langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya. –UTUSAN