PUTRAJAYA: Isu cerai-berai dan kisah pergolakan rumah tangga selebriti tanah air turut menarik perhatian ilmuwan agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang tampil dengan beberapa nasihat dan panduan berguna.
Menurutnya, suami isteri dinasihatkan supaya tidak berkira-kira dengan pasangan terutama dalam soal menguruskan kewangan kerana ia akan menggerhanakan hubungan.
“Sebagai contoh, isu bayaran tol atau isi minyak yang dipinjam oleh suami jika bersifat sekali-sekala tidak perlulah dituntut dengan sesungguh-sungguhnya,” katanya menerusi portal Maktabah Al-Bakri.
Katanya, pasangan juga dinasihatkan supaya tidak membesarkan perkara yang kecil serta tidak memanjangkan perkara yang tidak penting serta buangkan sifat yang remeh-temeh.
Zulkifli berkata, dapatan punca perceraian banyak berpunca dari isu-isu yang remeh-temeh yang sepatutnya boleh dimaafkan serta bertolak-ansur.
Menurutnya, pasangan suami isteri juga perlu membiasakan diri dengan menghadiri majlis ilmu agama terutama sekali atau dua kali semingggu termasuk membawa anak-anak bersama.
“Jika boleh sekali sekala dalam setahun atau beberapa bulan gunalah kesempatan untuk melancong bersama berdasarkan kemampuan dan kalaulah mampu pergilah menunaikan umrah bersama.
“Dalam sebulan ajaklah pasangan beberapa kali untuk makan di luar di tempat yang munasabah dan sesuai mengikut selera masing-masing,” katanya.
Selain itu, katanya, pasangan suami isteri juga perlu membudayakan amalan menziarahi orang tua mengikut kesesuaian sebulan atau dua bulan sekali agar ia mendapat restu yang baik dari orang tua kedua belah pihak.
“Suami atau isteri juga perlu biasakan memberi hadiah kepada pasangan masing-masing walaupun kecil terutamanya apabila pulang dari tempat yang jauh sebagai tanda ingatan,” katanya.-UTUSAN