Kerajaan setuju perluas bantuan e-dompet RM200 - Utusan Malaysia

Kerajaan setuju perluas bantuan e-dompet RM200

Mahasiswa
ANWAR Ibrahim dalam sesi Dialog Bersama MPP UiTM dekat UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan bersetuju memperluaskan bantuan tunai dompet elektronik (e-dompet) kepada semua mahasiswa yang berkelayakan berbanding had umur ditetapkan sebelum ini iaitu 18 hingga 20 tahun seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bersetuju dengan cadangan tersebut dan akan memutuskan supaya bantuan tersebut turut diterima oleh mereka yang merupakan mahasiswa di institusi pengajian tinggi.

“Saya akan putuskan supaya e-wallet itu boleh dimanfaatkan oleh semua mahasiswa,” katanya ringkas dalam sesi Dialog Perdana Menteri Bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.

Dalam program tersebut seramai 241 anggota MPP UiTM dari semua 24 cawangannya di seluruh negara hadir program yang dihoskan oleh YDP UiTM Shah Alam, Mohamed Yusuf Hassan Roslan.

Terdahulu Yang Dipertua MPP UiTM Melaka, Mohamad Izzami Jemaain melontarkan persoalan tentang bantuan e-dompet sebanyak RM200 yang diumumkan oleh Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

Sementara itu, dalam dialog sama, Naib Yang Dipertua MPP UiTM Negeri Sembilan, Nizamudin Mohd. Wazir meminta kerajaan mempertimbang kawalan harga bagi tiket penerbangan kepada mahasiswa supaya yang disifatkan terlalu mahal dan membebankan mereka.

Justeru, Anwar memaklumkan beliau akan membincangkan perkara tersebut kepada syarikat-syarikat penerbangan negara untuk mewujudkan kemudahan kepada mahasiswa terutama perjalanan yang melibatkan antara Sabah, Sarawak dengan semenanjung.

Jelas beliau, perkara tersebut pernah dijelaskan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkenaan penambahan dan pengurangan (penerbangan) ketika musim cuti perayaan.

“Bila subsidi tiket untuk mahasiswa make sense, mungkin kita kena berunding dengan syarikat penerbangan, kalau ada rekod umpamanya atau ada kad identiti siswa, mungkin setahun sekali maka diberikan… boleh nanti saya bincang dengan Menteri Pengangkutan.

“Maknanya, saya terima ini satu masalah kerana dari Sabah, Sarawak atau dari sini, tidak semua keluarga senang dan mungkin terbeban kalau kos terlalu tinggi. Macam kos Sarawak sahaja contohnya dari Miri ke Kuching pun terlalu mahal, jadi itu pun ada subsidi daripada kerajaan ratusan juta ringgit,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut bersetuju dengan kewujudan masalah akses internet dalam kalangan mahasiswa supaya penyelesaiannya dilakukan terutama melibatkan semua kampus universiti di seluruh negara.

“Sebab itu arahan kita sekarang dalam Kerajaan Perpaduan, termasuklah DNB (Digital Nasional Berhad) yang diselaraskan oleh Menteri Komunikasi, syarat pertama akses internet menyeluruh di seluruh negara, atau kita tidak teruskan (5G).

“Bersama universiti, saya bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin akan adakan beberapa perancangan segera supaya akses internet ini mesti dipenuhi di semua kampus (universiti) di seluruh negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya