KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Sabah menyediakan peruntukan sejumlah RM16.2 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan dan kepimpinan belia pada tahun ini.
Ketua Menterinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelaksanaan program tersebut bertujuan melahirkan belia berkualiti yang juga salah satu agenda pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut beliau, kerajaan negeri juga menyediakan platform terutama kepada golongan mahasiswa dan mahasiswi bagi memastikan suara golongan belia terus diberi perhatian.
“Antaranya penubuhan Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) yang menghimpunkan pemimpin pelajar negeri ini dari seluruh negara serta Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (Semesta).
“Di samping itu, bidang pendidikan turut diberi fokus melalui tawaran Kumpulan Yayasan Sabah berbentuk bantuan pinjaman pelajaran dan tajaan biasiswa bagi kemudahan belia negeri ini.
“Pada 2022, kita berbelanja RM45 juta untuk 10 inisiatif antaranya bantuan tunai pendaftaran institut pengajian tinggi (IPT), komputer riba dan sokongan kewangan kepada kelab mahasiswa Sabah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Arif pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa/Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi Zon Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang di Taman Tamadun Islam di sini, semalam.
Pada majlis tersebut, lebih 500 mahasiswa dan mahasiswi Sabah dari IPT di Kelantan, Terengganu dan Pahang berkumpul bersama pemimpin kerajaan negeri itu.
Dalam teks ucapan itu juga, Hajiji berkata, majlis tersebut adalah acara tahunan meraikan belia Sabah di Pantai Timur Semenanjung yang sebelum ini terpaksa ke Lembah Klang.
“Walaupun dibuat saban tahun, ini adalah kali pertama Kumpulan Yayasan Sabah berjaya menghimpunkan mahasiswa dan mahasiswi Sabah dalam satu majlis di Pantai Timur,” jelasnya. – UTUSAN