KUALA TERENGGANU : Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diharap tidak akan menjadi ‘bodoh’ dalam sebarang langkah dan tindakan yang bakal diambil dalam menentukan kerjasama hubungan politik dengan negara-negara luar.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ini kerana terdapat cubaan Amerika Syarikat untuk mempergunakan negara-negara Eropah dan Asia untuk menjadi khadamnya.
Menurutnya, beberapa negara Eropah dan Asia telah menunjukkan sifat tidak proaktif dan ada pula yang seperti menarik diri, kecuali beberapa negara kecil yang boleh ditarik menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan pakatan yang lain.
“Ketika ini, berlaku satu perubahan suhu politik di Timur Tengah yang telah menakutkan Zionis Israel dan Amerika Syarikat.
“Kita mengharapkan kerajaan PH di Malaysia tidak menjadi bodoh dalam sebarang langkah dan tindakannya.
“Hal ini demikian kerana, gabungan politik itu mempunyai paling banyak katak yang dikumpul bersamanya bagi mencukupkan penubuhan kerajaan dan diletakkan pula di bawah tempurung,” katanya dalam catatan Minda Presiden Pas yang dimuat naik di Facebook rasminya, hari ini.
Abdul Hadi berkata, hubungan antara Arab Saudi, Iran dan negara-negara Teluk semakin pulih, diikuti pula tanda-tanda perdamaian di Yaman, Libya serta berita hubungan yang semakin baik antara Turki, Syria dan Mesir.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan Amerika Syarikat tidak senang dengan perubahan yang berlaku. – UTUSAN