Kerajaan peruntuk RM200j bangun tanah wakaf Pulau Pinang - Utusan Malaysia

Kerajaan peruntuk RM200j bangun tanah wakaf Pulau Pinang

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

 

PERMATANG PAUH: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi memastikan hasrat untuk meningkatkan pemilikan hartanah Bumiputera di Pulau Pinang dapat dicapai serta memacu pembangunan tanah wakaf.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai permulaan, dana secara pinjaman mudah itu akan digunakan untuk membangunkan projek perumahan di atas tanah wakaf di Permatang Pauh.

Menurut beliau, pembangunan tanah wakaf itu akan dikendalikan oleh Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang mana kini di bawah pimpinan Pengerusi baharu, Tan Sri Khalid Ramli.

“Di Pulau Pinang ada tanah wakaf yang berusia puluhan dan ratusan tahun tetapi terbiar, tidak dibangunkan atau tidak digunakan ikut saluran yang betul.

“Ada sesetengahnya terletak di kawasan yang strategik, jadi kita boleh bangunkan untuk kepentingan masyarakat Melayu di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang yang pertama 2023 di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan, kerajaan turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta untuk membolehkan 1,000 pelajar tahfiz di Pulau Pinang mendapat latihan kemahiran dan pensijilan Pendidikan Teknik dan Vokasional (TVET).

Jelasnya, program itu berupaya melahirkan anak-anak Bumiputera Islam yang holistik serta lengkap dengan ilmu pengetahuan agama dan kemahiran teknikal.

“Dalam perbincangan dengan pengusaha dan pengurus sekolah tahfiz, mereka menyatakan ada keperluan untuk pelajar tahfiz di pusat maahad diberi peluang dan pendedahan dalam bidang lain.

“Jika tidak peluang pekerjaan akan terbantut, maka kita setuju selain menghafal al-Quran, mereka juga akan diberikan latihan TVET,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap dana yang diperuntukkan itu dapat digunakan oleh pusat maahad tahfiz untuk merangka program serta menjalin kerjasama dengan pihak industri dan swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN