Kerajaan harap lebih banyak pengilang sertai Jualan Rahmah - Utusan Malaysia

Kerajaan harap lebih banyak pengilang sertai Jualan Rahmah

Rahmah
SALAHUDDIN Ayub memotong reben melancarkan Program Jualan Rahmah Rasaku dekat pekarangan kilang Kumpulan Linaco di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhasrat lebih banyak pengilang menyertai Inisiatif Payung Rahmah (IPR) dengan menawarkan jualan murah pada produk-produk keluaran mereka.

Ini kerana sehingga kini terdapat dua pengilang menawarkan Jualan Rahmah pada produk keluaran mereka iaitu syarikat pengeluar biskut, Julie’s Manufacturing Sdn. Bhd. dan terbaharu, Kumpulan Linaco melalui anak syarikatnya, Rasaku Marketing Sdn. Bhd.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, penyertaan daripada pengilang-pengilang tersebut menawarkan potongan harga bagi produk makanan antara tiga hingga 50 peratus sekaligus memberi manfaat kepada peniaga kecil dan pengguna.

“Setakat ini, Linaco adalah yang terawal di samping Jualan Rahmah Julie’s di Melaka. Jadi bila pengilang mula tampil untuk turut serta dalam Inisiatif Payung Rahmah ini, saya melihat ia jadi lebih mampan dan buatkan satu unjuran dengan komitmen diberikan bukan hanya vendor tetapi pengilang.

“Di peringkat pengilang, ini yang kedua dan kita akan adakan lebih banyak libat urus daripada pengilang, kita cuba dapatkan senarainya,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Program Jualan Rahmah Rasaku, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri, Fuziah Salleh menyeru pemain industri sektor perkilangan makanan menyertai inisiatif tersebut untuk bersama kerajaan membantu golongan memerlukan yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

Menurutnya, kementerian menerima banyak pertanyaan dan reaksi positif diterima pihaknya daripada para pengilang yang menunjukkan minat untuk turut serta.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Kumpulan Linaco, Joe Ling memberitahu penyertaan syarikatnya terhadap dasar kerajaan itu bertujuan membantu golongan B40 dengan matlamat tidak menyasarkan keuntungan.

“Jualan Rahmah Rasaku akan berterusan sepanjang kempen tersebut. Kita pun sokong dengan tidak mengambil keuntungan.

“Jumlah pelaburannya pula bergantung kepada pengeluaran yang hendak dilakukan, cuma kita sasarkan untuk tidak meraih keuntungan terhadap jualan tersebut, itu adalah untuk (membantu) golongan B40,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya