PUTRAJAYA: Kerajaan mengalu-alukan pengekalan penarafan Moody’s Investors Service (Moody’s) bagi penarafan kredit berdaulat Malaysia pada A3 dengan tinjauan ‘Stabil’.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, pengekalan penarafan ini mencerminkan keazaman negara untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dan daya tahan walaupun berhadapan dengan persekitaran global yang mencabar dan tidak menentu.
Katanya, memetik kenyataan Moody’s, kepelbagaian dan daya saing ekonomi Malaysia serta akses kerajaan kepada sumber pembiayaan domestik yang kukuh akan terus menjadi kekuatan kepada penarafan.
Ini membantu mengurangkan peningkatan risiko fiskal berikutan pandemik Covid-19 yang menyebabkan beban hutang bertambah seterusnya mengehadkan kemampuan keberhutangan.
“Moody’s menjangkakan pertumbuhan KDNK benar Malaysia menyederhana kepada 4.5 peratus pada 2023 berikutan situasi ekonomi global yang menyederhana seterusnya mempengaruhi permintaan luar terhadap produk pembuatan walaupun terdapat peningkatan eksport komoditi, pemulihan dalam sektor pelancongan dan pengukuhan dalam pasaran buruh.
“Dalam jangka masa sederhana, Moody’s mengunjurkan pertumbuhan KDNK benar Malaysia pada sekitar 5 peratus menjelang 2025, menghampiri potensi pertumbuhan output, disokong demografi yang lebih baik berbanding negara berpenarafan setara A, tahap pelaburan yang kukuh serta permintaan yang lebih tinggi dari negara maju,” katanya.
MOF berkata, selari dengan visi Malaysia Madani, kerajaan komited memacu pertumbuhan inklusif dan mampan, mengembalikan keyakinan terhadap institusi awam dan tatakelola serta mempertahankan keadilan sosial kepada semua rakyat Malaysia.
Katanya, kerajaan akan terus berusaha memperkukuhkan lagi pertumbuhan ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan di samping memberi fokus kepada inisiatif mengawal tekanan inflasi dan mengurangkan beban hidup rakyat.
“Kerajaan komited untuk melaksanakan pembaharuan fiskal dan mengawal paras hutang bagi memastikan struktur ekonomi yang kukuh serta rangka kerja institusi yang berwibawa dalam menguruskan kewangan awam,” katanya. – UTUSAN