KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 31 Mei ini bagi keputusan representasi kedua pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel untuk menggugurkan tiga pertuduhan memuat naik video menyentuh isu sensitiviti perkauman yang dihadapinya.
Hakim N. Priscilla turut menetapkan perbicaraan didengar pada 1 dan 2 Jun jika representasi itu ditolak oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).
Hari ini sepatutnya ditetapkan bagi sebutan untuk pemfailan pernyataan saksi.
Pada 20 Januari lalu, mahkamah dimaklumkan representasi pertama Rizal ditolak oleh AGC dan tertuduh akan memfailkan representasi kedua atas isu yang sama.
Pada awal prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Aslinda Che Seman memberitahu, pihaknya menerima surat representasi kedua hari ini dan memohon tempoh sebulan untuk membawa representasi itu kepada pihak atasan.
Menurut beliau, pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen tambahan kepada pembelaan pada tarikh lain kerana pegawai penyiasat tidak hadir hari ini atas alasan isterinya tidak sihat.
Sementara itu, peguam M. Pravin memaklumkan, representasi kedua yang baru diserahkan hari ini mengandungi perkembangan baharu yang sangat penting dalam usaha menggugurkan pertuduhan terhadap anak guamnya.
Sehubungan itu, pihak pembelaan memohon tarikh perbicaraan ditangguhkan sehingga Jun sementara menunggu keputusan representasi.
Pravin turut menarik perhatian mahkamah bahawa Rizal akan mengemukakan permohonan rasmi agar pasport antarabangsanya dikembalikan bagi membolehkan beliau menunaikan umrah di antara 15 dan 30 Mei ini.
Sehubungan itu, tarikh perbicaraan pada 14 April dan 2,3 serta 22 Mei ini dilapangkan oleh mahkamah sementara menunggu keputusan representasi.
Mengikut tiga pertuduhan itu, Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Perbuatan itu didakwa dilakukan melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’ di antara 4 dan 6 Julai 2022.
Ketiga-tiga hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ di sini, pukul 1.17 petang, 13 Julai 2022.
Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233(1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN