KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 30 Mei ini untuk keputusan di akhir pendakwaan kes bekas Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak bagi sebuah syarikat yang mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut.
Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan balas dan klarifikasi daripada pihak-pihak terlibat.
Hadir pada prosiding hari ini ialah Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd. Azmi dan Siti Amirah Muhammad Ali bagi pihak pendakwaan manakala Rozman diwakili peguam bela, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Terdahulu ketika berhujah, Muhammad Rafique berkata, saksi-saksi pendakwaan sendiri mengesahkan Rozman ada mencadangkan syarikat lain yang lebih layak dan syarikat itu ialah LP Multi Terminal.
Tambah peguam itu, tertuduh juga tidak pernah mengendalikan atau mengetuai mesyuarat untuk keputusan sama ada melantik operator baharu LLPM atau perjanjian LLPM.
“Pegawai penyiasat dalam kes ini juga menyatakan Rozman tidak pernah membuat keputusan secara individu. Sebab itu kita tak boleh nafikan tanpa memanggil Datuk Seri Wee Jeck Seng pengerusi LPL kita tidak tahu apa berlaku,” katanya.
Sementara itu ketika membalas hujahan tersebut, Ahmad Feisal mengatakan tertuduh telah menggunakan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan (LPL) untuk mendapatkan suatu suapan dengan bertindak memilih Labuan Liberty Port Management Sdn. Bhd. (LLPM) menjadi operator sementara.
Jelas Ahmad Feisal, pihak pendakwaan menggunakan elemen anggapan berdasarkan Seksyen 23 (2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dalam membuktikan kes mereka.
Berdasarkan seksyen tersebut, seorang pegawai badan awam hendaklah dianggap, sehingga dibuktikan, telah menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk apa-apa suapan sama ada untuk dirinya sendiri, saudara atau sekutunya apabila dia membuat sesuatu keputusan atau mengambil apa-apa tindakan berhubungan apa-apa perkara mengenainya yang mempunyai kepentingan.
“Berdasarkan kepada peruntukan ini, isu yang perlu diputuskan mahkamah ialah adakah tindakan yang diambil oleh tertuduh berkaitan dengan jawatan yang disandangnya iaitu sebagai Timbalan Pengerusi LPL dan ahli lembaga pengarah Pelabuhan Labuan dan tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat LLPM,” katanya.
Menyambung hujah pendakwaan, Siti Amirah menyatakan berdasarkan keterangan saksi pendakwaan ke-24 iaitu pegawai penyiasat yang mengatakan tertuduh telah mengambil tindakan melengah-lengahkan dalam mesyuarat LPL untuk melantikan operator baharu pada 21 Mac 2018.
Jelasnya, susulan daripada tindakan tertuduh itu, pelantikan syarikat baharu ditangguh dan Labuan Liberty Port Management mendapat kebenaran sementara sebagai pengendali terminal pelabuhan itu.
Menurut keterangan pegawai penyiasat, Rozman ketika disiasat memberi alasan melengahkan pelantikan itu atas alasan pelantikan syarikat baharu akan membawa implikasi ke atas kerjaya politiknya.
Pada 14 Oktober 2021, Rozman, 59, didakwa menggunakan kedudukan sebagai Timbalan Pengerusi LPL untuk mendapatkan kontrak bagi syarikat LLPM yang mana bapa dan adiknya didakwa mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.
Tertuduh yang juga bekas Ketua Whip Parti Warisan (Warisan) didakwa melakukan perbuatan itu di antara pukul 2.30 petang dan 5.30 petang, 21 Mac 2018 di Bilik Mesyuarat Timbalan Ketua Setiausaha, Aras 9, Kementerian Pengangkutan, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya.
Rozman didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau RM10,000 atau mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN