Kemudahan Calm Room di Sunway Carnival Mall tenangkan anak autistik - Utusan Malaysia

Kemudahan Calm Room di Sunway Carnival Mall tenangkan anak autistik

CHAI Wen Yew (dua,kanan) berada di dalam bilik Calm Room yang disediakan khusus untuk kanak-kanak autistik di tingkat dua pusat beli-belah Sunway Carnival Mall di Perai, Pulau Pinang. - Pix: SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERAI: Sunway Carnival Mall di sini mewujudkan prasarana khas khusus buat anak-anak autistik yang inginkan ketenangan ketika berkunjung ke pusat beli-belah terbabit.

Pengurus Besarnya, Chai Wen Yew, berkata, ‘Calm Room’ yang beroperasi di tingkat dua premis itu dijangka dapat membantu ibu bapa menenangkan anak-anak autistik yang sedang tantrum dengan lebih efektif.

“Sudah menjadi kebiasaan bagi ibu bapa membawa anak autistik membeli-belah di sini dan kita mahu mewujudkan ruang selamat untuk anak-anak mereka ambil masa seketika untuk bertenang.

“Sejajar dengan April sebagai Bulan Kesedaran Autisme, bilik ini diharapkan dapat membantu pelanggan yang memerlukan.

“Ia mampu memuatkan dua sehingga tiga keluarga dalam satu masa dan turut dilengkapi pelbagai kemudahan antaranya permainan deria, pencahayaan yang lebih malap serta sofa untuk anak-anak autistik berehat,” katanya kepada pemberita di Seberang Jaya, di sini semalam.

Terdahulu, Wen Yew turut melancarkan kempen ‘Cahaya Raya’ di pusat beli-belah itu sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

Calm Room beroperasi setiap hari bermula pukul 10 pagi sehingga 10 malam dan tiada sebarang caj dikenakan, namun pendaftaran diperlukan bagi pelanggan yang ingin mengakses Calm Room berkenaan.

Sementara itu, seorang pelanggan, Nur Iryani Mohd Noor, 38, yang mempunyai seorang anak autistik menyambut baik usaha pihak pengurusan beli-belah berkenaan yang peka akan keperluan anak-anak istimewa.

“Ibu bapa akan rasa selamat dan ada hala tuju apabila anak tiba-tiba tantrum, kita boleh bawanya ke Calm Room.

“Tingkah laku anak tidak boleh dijangka, ada masanya okay dan ada masanya tidak, maka bilik ini dapat menjadi ruang untuk mereka bertenang.

“Kesedaran pihak Sunway Carnival Mall terhadap keperluan kanak-kanak autistik wajar dipuji dan sebagai ibu, saya ada tempat untuk dituju sekiranya anak mengamuk tiba-tiba,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya