KLANG: Impian sebuah keluarga untuk meraikan Aidilfitri di rumah baharu di Taman Sri Andalas di sini, musnah apabila mendakwa diperdaya syarikat kontraktor yang melesapkan wang kos pembinaan berjumlah RM205,800.
Lebih memilukan, keseluruhan struktur kediaman yang dirobohkan sejak lapan bulan lalu itu dibiarkan terbengkalai sehingga kini.
Ahli keluarga mangsa, Zainol Dzul Hafiz Zainal, 35, berkata syarikat terbabit dilantik itu untuk membina semula rumah pusaka dua tingkat berkenaan pada 1 Oktober tahun lalu melibatkan kos lebih RM400,000 yang dijadualkan siap sepenuhnya bulan depan.
“Kami sekeluarga membayar wang berjumlah RM205,800 secara berperingkat kepada syarikat itu dalam tempoh sebulan. Namun, kami mula curiga kerana mereka hanya melakukan kerja perobohan dan dibiarkan terbengkalai sehingga Disember tahun lalu,” katanya ketika ditemui di tapak rumah itu hari ini.
Jelas Zainol, dia turut terkejut apabila mendapati kontraktor itu tidak pernah menghantar pelan binaan untuk kelulusan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
“Selain itu, MPK menampal notis saman memaklumkan rumah berkenaan diroboh dan melakukan pengubahsuaian tanpa sebarang kelulusan. Kontraktor itu sebelum ini memberi pelbagai alasan seperti faktor kekurangan pekerja sehingga menghentikan pembinaan tersebut.
“Laporan polis dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan untuk tindakan lanjut,” luahnya.
Tambah bapa kepada tiga anak itu, dia sekeluarga kini terpaksa menyewa rumah di Setia Alam dan sedih tidak dapat beraya di rumah baharu.
Sementara itu, adik iparnya, Mohd. Azahari Ahmad, 33, berkata dia turut menjadi mangsa kontraktor sama melibatkan pembinaan rumah baharu di Kampung Rantau Panjang di sini, sejak Ogos tahun lalu.
“Saya sudah membayar RM88,000 bagi membina kediaman satu tingkat di tanah pusaka keluarga itu. Namun, rumah pertama saya yang dijadualkan siap pada Februari lalu masih gagal disiapkan dan terbiar,” ujarnya.
Tambahnya lagi, dia kini juga terpaksa menyewa di sekitar daerah ini dengan kos RM1,500 sebulan. – UTUSAN