LUMUT: Kementerian Pertahanan akan melakukan siasatan dalaman terhadap kejadian kematian seorang anggota tentera yang menjalankan operasi di Hutan Simpan Royal Belum, Gerik, selepas dilaporkan hilang pada 7 April lalu.
Timbalan Menterinya, Adly Zahari berkata, siasatan itu perlu untuk mengetahui dan mengenal pasti apa yang sebenarnya berlaku sehingga menjurus kepada kematian mangsa.
“Kita mengucapkan takziah kepada ahli keluarga anggota pertahanan yang mengalami kemalangan itu dan kita dalam proses untuk melihat kembali apa yang berlaku.
“Walaupun laporan perubatan dan bedah siasat telah dikeluarkan mengenai punca kematian, siasatan (di peringkat Kementerian Pertahanan) masih tetap dilakukan.
“Kita akan maklumkan kepada semua pihak (hasil siasatan) dan saya yakin ahli keluarga pun mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menziarahi seorang veteran tentera yang koma selepas terbabit kemalangan jalan raya, di Taman Samudera, Seri Manjung di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota tentera Koperal Mohamad Nasri Mohd. Nasib, 33, dilaporkan hilang ketika sedang menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Royal Belum.
Kehilangan mangsa itu disedari selepas dia bersama lima rakan setugas sedang menjalankan operasi di kawasan penugasan pada pukul 5 petang, 7 April lalu.
Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada hari sama sebelum mangsa akhirnya dijumpai kelmarin iaitu selepas enam hari dilaporkan hilang.
Semalam, polis mengesahkan punca kematian anggota tentera dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang, itu adalah akibat kecederaan di kepala kerana terjatuh.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, punca kematian itu diperoleh hasil proses bedah siasat ke atas mayat mangsa di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan mengklasifikasikannya sebagai kematian mengejut.
Menurut Adly, pihaknya akan berusaha untuk menjalankan siasatan dalaman itu dan mengumumkan hasil siasatan tersebut secepat mungkin.
Tegas beliau, pihaknya akan melakukan penambahbaikan jika hasil siasatan itu mendapati ada kelemahan dalam apa saja aspek dalam operasi tersebut.
Pada masa sama, beliau memaklumkan proses untuk melihat kembali bagi memastikan anggota tentera diberi keutamaan sama ada ketika operasi atau latihan. – UTUSAN