TELUK INTAN: Polis mengklasifikasi kes seorang anggota tentera berpangkat Koperal yang ditemukan meninggal dunia di Hutan Simpan Belum di Gerik hari ini sebagai mati mengejut (SDR).
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, mayat anggota tentera berusia 33 tahun itu ditemukan dalam keadaan sempurna di kawasan hutan berhampiran sungai.
Menurutnya, polis percaya tiada unsur jenayah atau bintang buas dalam kes tersebut.
“Hasil operasi mencari dan menyelamat yang dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak 7 April lalu berkaitan kehilangan anggota tentera tersebut menemukan mayat pada 10.15 pagi.
“Mayat telah dikeluarkan dari tempat kejadian dan di bawa ke Hospital Gerik dan perkembangan terkini mayat telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
“Kita masih menunggu bedah siasat yang akan dijalankan pagi esok, (setakat ini) kes masih lagi diklasifikasikan SDR.
“(Ketika dijumpai) mayat masih sempurna, kita percaya tiada unsur jenayah atau bintang buas, jadi kita tunggu laporan bedah siasat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim serta Maahad Tahfiz Wa Dirasah Al-Islamiah di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini hari ini.
Mengenai jarak mayat ditemukan daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang, Mohd. Yusri berkata, perkara itu masih dalam siasatan.
“Kita akan dapatkan maklumat menerusi temubual daripada saksi-saksi,”katanya.
Terdahulu, dalam kenyataannya hari ini, Mohd. Yusri berkata, seorang anggota tentera berpangkat Koperal yang dilaporkan hilang di Hutan Simpan Belum di Gerik sejak Jumaat ditemukan meninggal dunia hari ini.
Mayat anggota berusia 33 tahun itu dijumpai pada pukul 10.15 pagi.
Media sebelum ini melaporkan, seorang anggota tentera dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Seri Bentong, Pahang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum.
Kehilangan mangsa itu disedari selepas dia bersama lima rakan setugas sedang menjalankan operasi di kawasan penugasan pada pukul 5 petang, Jumaat lalu. – UTUSAN