KANGAR: Setiap kali Ramadan, kedai emas Hajjah Halijah tidak pernah ketinggalan berkongsi rezeki dengan orang ramai menerusi agihan bubur lambuk secara percuma di hadapan premisnya di Jalan Medan, di sini.
Malah, tradisi yang dimulakan sejak lebih 10 tahun lalu itu menjadi kelaziman buat kedai emas berkenaan bagi bersama-sama meraih keberkatan pada bulan mulia ini.
Bersempena Ramadan kali ini, kedai emas Hajjah Halijah masih meneruskan tradisi dengan mengagihkan sebanyak 500 pek bubur lambuk percuma kepada orang ramai pada setiap hari bermula pukul 5 petang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Shaiful Hasri Shukri berkata, edaran bubur lambuk itu adalah sebagai usaha bagi meneruskan amalan dan tradisi ibunya, Halijah Saad, 69, yang sejak sekian lama tidak pernah ketinggalan memasak sendiri sajian tersebut dan mengedarkannya kepada orang ramai setiap kali ketibaan Ramadan.
“Kita berkongsi rezeki ini bersama-sama orang ramai menerusi agihan bubur lambuk malah tradisi ini masih diteruskan sejak 10 tahun lalu lagi.
“Melalui inisiatif ini, kami cuba untuk mengembalikan suasana sewaktu menyambut Ramadan suatu ketika dahulu dan ia diteruskan lagi selepas ini,” katanya.
Menurut Mohd. Shaiful, sambutan orang ramai menerusi agihan tersebut sangat memberangsangkan apabila bubur lambuk berkenaan selesai diedarkan hanya dalam tempoh masa kurang satu jam.
Selain itu, kara beliau, pihaknya masih meneruskan inisiatif Infaq Ramadan bersama kedai emas Hajjah Halijah yang bermula RM10 pada tahun ini bagi mengalakkan lebih ramai orang beramal dan bersedekah.
“Kami teruskan Infaq Ramadan pada setiap tahun supaya orang ramai boleh sama-sama beramal dan bersedekah pada bulan yang mulia ini.
“Malah hasil kutipan tersebut juga akan disalurkan kepada pusat tahfiz yang terpilih,” katanya. – UTUSAN