KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima sebanyak 150,000 permohonan taraf kewarganegaraan di negara ini sehingga setakat ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya menyasarkan untuk memproses sekurang-kurangnya 10,000 permohonan daripada jumlah keseluruhan tersebut pada tahun ini.
Menurutnya, sebanyak 5,700 permohonan tersebut telah mendapat keputusan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Katanya, permohonan yang mendapat keputusan itu sudah diteliti sama ada diluluskan atau ditolak.
‘Kes permohonan yang ditolak misalnya pemohon tidak pernah tinggal di sini (dalam negara), jadi tiada komitmen untuk tinggal di sini.
“Atau ada juga disebabkan dokumentasi yang tidak lengkap, maksudnya dalam pertimbangan permohonan isu kewarganegaraan ini, semua prasyarat keperluan dokumentasi digariskan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan,’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Iftar KDN Madani di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, malam ini.
Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya perlu meneliti setiap permohonan taraf kewarganegaraan dalam membuat keputusan.
“Paling penting KDN tidak akan berkompromi dengan aspek keselamatan serta ketulenan pemohon,” ujarnya. – UTUSAN