Kawat teruskan tradisi Ziarah Kasih Ramadan - Utusan Malaysia

Kawat teruskan tradisi Ziarah Kasih Ramadan

AZLAN Bahrum dan Norhaspida Yatim (dua dari kanan) ceria ketika menerima kunjungan AJK Kawat sempena Ziarah Kasih Ramadan di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Prihatin dengan kebajikan keluarga bekas pengamal media yang diuji kesakitan, Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) meneruskan tradisi tahunannya iaitu Ziarah Kasih Ramadan untuk menyantuni mereka pada bulan yang mulia ini.

Hari ini, beberapa ahli jawatankuasa (AJK) kelab itu mengunjungi keluarga bekas jurugambar Utusan Malaysia iaitu Azlan Bahrum, 39, di kediamannya di Pangsapuri Ladang Tok Pelam, di sini.

Azlan yang menderita penyakit gout kronik kini tidak mampu lagi bekerja seperti biasa kerana semua sendinya bengkak akibat lebihan asid urik.

Isterinya, Norhaspida Yatim, 37, yang juga wartawan akhbar tempatan berkata, kunjungan AJK Kawat sangat bermakna buat mereka sekeluarga sebagai tanda keprihatinan untuk rakan yang tidak bernasib baik.

“Ketika ini, suami masih berikhtiar dan tidak putus asa untuk mencuba pelbagai jenis rawatan agar dapat kembali pulih. Sokongan rakan-rakan banyak membantunya terus ceria seperti biasa.

“Buat masa sekarang, tahap kesihatan suami masih tidak stabil  ada kalanya sakit teruk dan tidak boleh menguruskan rutin harian dengan sempurna,” katanya yang mempunyai tiga cahaya mata iaitu Muhammad Aqif Rayyan, 10, Awatif Nur Adawiyah, 9, dan Awfiyah Nur Umairah, 7.

Sementara itu, Pemangku Presiden Kawat, Mohd. Ishak Abdillah Ngah berkata, kunjungan beberapa ahli jawatankuasa kelab itu diharap dapat menceriakan keluarga yang terlibat dan sebagai tanda ingatan untuk mengeratkan lagi hubungan sesama mereka.

“Sepanjang Ramadan ini, kami juga akan turun padang menziarahi lebih 10 keluarga pengamal media yang telah meninggal dunia dan menyampaikan sedikit sumbangan untuk waris yang ada.

“Bagi pengamal media yang terlantar sakit juga, turut kami kunjungi untuk bertanyakan perkembangan baharu proses rawatan mereka, semoga jalinan hubungan kami akan kekal selamanya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya