ALOR SETAR: Jabatan Mufti Negeri Kedah meminta umat Islam yang berbuka puasa berpandukan kepada azan Masjid Jame’ Badlishah Yan, Jerai pada 30 Mac lalu perlu menggantikan puasa itu atau qada.
Menurut Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang, perkara itu diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah yang bermesyuarat sebelum ini.
“Berhubung isu itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah bermesyuarat dan memutuskan, yang pertama berkenaan azan itu sendiri. Azan bertujuan memberi makluman kepada masyarakat tentang masuknya waktu solat dan di samping mengajak masyarakat untuk mendirikan solat.
“Apabila azan itu berlaku pada waktu Maghrib yang sudah tentu pada waktu yang sama menunjukkan masuknya waktu berbuka puasa.
“Jadi masyarakat terlibat pada waktu itu dengan berpandukan kepada laungan azan tersebut sahaja maka kedudukan puasa mereka diputuskan oleh jawatankuasa sebagai terbatal dan wajib diqadakan,” katanya dalam satu siaran video di media sosial Jabatan Mufti Negeri Kedah hari ini.
Mengulas lanjut, ujar Syeikh Fadzil, jawatankuasa berkenaan juga memutuskan kejadian tersebut berlaku disebabkan kecuaian pegawai masjid yang melaungkan azan tersebut pada hari kejadian.
“Jadi kesilapan yang berlaku kepada muazin kerana didapati kurang teliti, kurang halusi dan kita rujuk kepada hadis Nabi Muhammad SAW bahawa muazin itu, seorang yang diberi kepercayaan sebab itu dia harus betul-betul teliti dan halusi sebelum dia melaungkan azan.
“Jadi pada pandangan Jabatan Mufti kesilapan berlaku kepada muazin itu atau mana-mana muazin lain dikirakan sebagai kesilapan akibat kecuaian dirinya sendiri,” jelasnya.
Beliau menambah, walaupun puasa tersebut terbatal namun mereka yang terlibat tetap mendapat ganjaran pahala ibadah itu daripada Allah SWT.
Akhbar ini melaporkan Masjid Jame’ Badlishah di Pekan Yan memohon maaf selepas melakukan kesilapan apabila melaungkan azan dua minit lebih awal berbanding waktu sebenar berbuka di kawasan terlibat iaitu, 7.28 malam. –UTUSAN