Kapasiti dua empangan utama di Pulau Pinang menurun 50 peratus - Utusan Malaysia

Kapasiti dua empangan utama di Pulau Pinang menurun 50 peratus

fenomena el nino
KAPASITI efektif Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam di Pulau Pinang kini menurun kepada kira-kira 50 peratus ekoran taburan hujan yang rendah di kawasan berkenaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kapasiti efektif dua empangan utama di Pulau Pinang iaitu Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam menurun kepada kira-kira 50 peratus ekoran taburan hujan yang rendah di kawasan berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, pengguna air dinasihatkan menggunakan air dengan berhemat sehingga hujan lebat tiba di kawasan itu untuk mengisi semula empangan tersebut.

Ujar beliau, setakat semalam, kapasiti efektif Empangan Air Itam adalah pada kadar 51.8 peratus dan Empangan Teluk Bahang pula 51.3 peratus.

Sementara itu, tambahnya, jumlah hujan yang direkodkan di kawasan tadahan air empangan bagi bulan Januari, Februari dan Mac lalu adalah pada kadar 129 milimeter (mm) bagi empangan Air Itam dan 251 mm bagi empangan Teluk Bahang.

Dalam masa sama, purata penggunaan air harian bagi Pulau Pinang pada bulan Januari pula adalah sebanyak 875 juta liter sehari (JLH) manakala Februari sebanyak 944 JLH.

“Statistik itu menunjukkan taburan hujan rendah di kawasan tadahan air (KTA) empangan dan permintaan air yang tinggi merupakan dua faktor utama yang menyebabkan kapasiti efektif empangan Air Itam dan empangan Teluk Bahang menurun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, sebagai maklum balas kepada senario amaran bekalan air itu, PBAPP sedang melaksanakan langkah-langkah kejuruteraan bekalan air antaranya mengoptimumkan pengabstrakan air mentah dari Sungai Muda dan pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air Sungai Dua (LRA Sungai Dua).

Jelas beliau, PBAPP juga mengepam lebih banyak air terawat dari LRA Sungai Dua ke Pulau Pinang (melalui tiga set saluran paip berkembar dasar laut) untuk menyokong bekalan air di pulau.

“PBAPP meminimumkan pelepasan air mentah dari empangan Air Itam dan empangan Teluk Bahang seboleh mungkin, tanpa menjejaskan perkhidmatan bekalan air,” katanya.

Tambahnya, PBAPP juga meningkatkan kawalan cuaca kering untuk mempertahankan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang secara strategik selama mungkin.

”Kami juga menjalankan penjadualan semula kerja-kerja paip berjadual untuk meminimumkan pembaziran air;
serta memberi maklum balas kepada aduan awam mengenai paip pecah atau bocor secepat mungkin.

“PBAPP juga menyediakan pelan kontingensi untuk menangani permintaan air di kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (HPA) jika musim kemarau semasa berterusan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya