Kanak-kanak tujuh tahun rentung dalam kebakaran rumah - Utusan Malaysia

Kanak-kanak tujuh tahun rentung dalam kebakaran rumah

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Pisang, Air Itam, Pulau Pinang tengah malam tadi. - Pix: IHSAN JBPM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam kebakaran membabitkan dua buah rumah di Kampung Pisang, Air Itam, di sini tengah malam tadi.

Mangsa, G. Sri Laavanya ditemukan maut setelah terperangkap di dalam rumahnya yang musnah akibat kebakaran berkenaan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd. Shakir Abdullah berkata, bomba menerima panggilan daripada orang awam mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.19 malam.

”Seramai 19 anggota termasuk penyelia dan ketua balai dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja maklumat mengenai kebakaran ini diterima.

”Apabila pihak bomba tiba di tempat kejadian didapati terdapat kebakaran melibatkan dua buah rumah di mana anggaran peratusan kemusnahan kebakaran adalah 80 peratus pada rumah pertama dan 50 peratus pada rumah bersebelahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, menerusi maklumat awal yang diterima oleh orang awam terdapat seorang mangsa kanak-kanak yang terperangkap di dalam rumah.

”Komander Operasi membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan mengarahkan anggota melakukan kerja-kerja pengawalan dan pemadaman.

”Kebakaran dapat dikawal pukul 12.45 pagi dan dipadamkan sepenuhnya pukul 12.55 pagi,” katanya.

Tambahnya, mangsa telah ditemukan dalam keadaan rentung pada pukul 12.33 pagi dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis.

”Kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan sehingga operasi tamat sepenuhnya pukul 1.23 pagi dan punca kebakaran masih disiasat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya