KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera di mata kanan ketika bermain mercun bersama tiga lagi rakannya dalam kejadian di Kuala Nerus, dekat sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din berkata, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku di kawasan rumah kanak-kanak terbabit pada pukul 8.30 malam.
Menurut beliau, salah seorang daripada kanak-kanak berusia lapan sehingga 13 tahun itu telah menyalakan mercun yang diubah suai lalu menyebabkan berlaku letupan kuat.
“Abang mangsa yang menyedari kejadian itu kemudian membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, dua jam selepas itu.
“Salah seorang mangsa masih diberikan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kanan.
“Sementara itu, tiga orang lagi rakan mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama akibat kecederaan pada anggota tubuh badan,” ujarnya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Rahim memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua jika sabit kesalahan.
Tambahnya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan mengabaikan kanak-kanak.
Katanya, sekiranya disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-keduanya.
“Ibu bapa perlu sentiasa memantau aktiviti anak-anak semasa bermain bunga api atau mercun kerana pengabaian kanak-kanak adalah kesalahan yang boleh didakwa,” ujarnya. – UTUSAN