KUALA TERENGGANU: Kawasan Kampung Budaya Terengganu (KBT) dekat Muzium Negeri, Losong, di sini akan diterangi cahaya pelita sempena program Pelita Raya Terengganu 2023 diperkampung tersebut pada 14 hingga 18 April ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, program tersebut dianjurkan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dijanga dihadiri lebih 20,000 pengunjung dalam tempoh tersebut.
Menurutnya, program selama lima hari yang bertemakan ‘Comeynya Peliter’ itu akan mengetengahkan konsep ‘1 Pejabat Daerah, 1 Rumah Tradisi’ di mana setiap pejabat daerah perlu menghias rumah-rumah tradisi dan lokasi menarik yang terdapat di KBT.
Katanua, hasil rekaan replika dan dekorasi perlu menggunakan barangan terpakai dan disyaratkan peserta menggunakan lebih dari 150 pelita sumbu.
“Program pelita raya adalah antara acara yang dinantikan masyarakat Terengganu kerana mempunyai tarikan tersendiri kerana pengunjung dapat melihat kreativiti, cetusan idea dan dekorasi yang ditonjolkan peserta pada setiap rumah tradisi.
“Secara tidak langsung, ia dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan negeri dan mampu memelihara adat dan budaya masyarakat melayu dahulu kala,” katanya ketika ditemui selepas meninjau persiapan tapak program Pelita Raya Terengganu 2023 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, program kali ini menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM14,000 kepada pejabat daerah dan pengunjung yang hadir melalui pertandingan foto di Facebook.
“Orang ramai dijemput hadir ke program ini kerana Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu merangka pelbagai aktiviti sampingan seperti persembahan kebudayaan, demonstrasi dan jualan makanan tradisional daerah serta produk usahawan tempatan,” katanya. – UTUSAN