‘Kami harap Kak Ngah pulang’ - Utusan Malaysia

‘Kami harap Kak Ngah pulang’

NUR Wahida Zailan menunjukkan gambarnya bersama Nur Hafizah. Adiknya itu masih belum ditemukan selepas hilang dihanyutkan arus deras ketika melalui jambatan gantung Kampung Aur, Bukit Ibam di Muadzam Shah, Pahang. – UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: “Kami sekeluarga terutama ayah, masih berharap pada bulan Syawal ini Kak Ngah pulang. Tidak kira dalam kea­daan macam mana sekali pun, asalkan dia pulang”.

Demikian jelas Nur Wahida Zailan, 25, kakak kepada Nur Hafizah, 23, atau mesra dipanggil ‘Kak Ngah’ yang hilang selepas terjatuh dari jambatan gantung di Kampung Aur, Muadzam Shah di sini pada 3 Mac lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nur Wahida berkata, jika adiknya itu meninggal dunia, sekurang-kurangnya ada kubur untuk diziarahi mereka sekeluarga.

“Sambutan Aidilfitri kali ini, kami sambut dalam keadaan suram dan ala kadar, sebelum ini, Kak Ngah paling teruja jika nak sambut hari raya kerana dia semangat untuk kemas rumah dan pasang pelita.

“Tahun ini pun, Kak Ngah juga sudah bercadang nak pakai baju raya sedondon warna biru dan membuat kuih gunting.

“Namun begitu, kami sekeluarga tidak melakukan apa-apa persiapan kali ini tambahan pula rumah baharu sahaja pulih daripada ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Setakat ini operasi pencarian Nur Hafizah sudah dihentikan pada 4 April lalu, namun keluarga mangsa masih tidak berputus asa mencarinya.

Nur Wahida berkata, hampir setiap hari bapanya akan turun ke sungai menaiki bot untuk mencari Nur Hafizah sama ada di sebelah pagi mahupun petang.

“Orang kampung juga membantu meneruskan usaha mencari Kak Ngah. Sambil mereka memancing ikan di sungai, sambil mereka mencari Kak Ngah, setiap hari.

“Kak Ngah seorang ustazah, mengajar mengaji di kampung ini dan disebabkan itu Kak Ngah sangat dikenali orang kampung. Mereka semua juga berharap Kak Ngah segera ditemukan,” katanya.

Nur Hafizah tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum kehilangannya pada 3 Mac lalu, apabila jambatan gantung yang dilaluinya terlingkup akibat dipukul arus deras.

Menurut Nur Wahida, se­minggu sebelum kejadian, adiknya ada menghantar pesa­nan ringkas melalui aplikasi WhatsApp tertulis ‘saya sayang awak’.

“Sebagai adik-beradik yang sangat rapat, saya sangkakan dia bergurau kerana dia suka mengusik dan ceria dalam keluarga kami. Saya pun anggap biasa dengan mesej tersebut dan tidak menyangka itu mesej yang penuh makna,” katanya.

Nur Hafizah adalah pelatih Program Pembangunan Tamadun Orang Asli (Petama) anjuran Yayasan Pahang pada 2021 dan kemudiannya dilantik sebagai Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (Pepima) bagi kampung Orang Asli Gadak di Bukit Ibam, tahun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya