SEPANG: “Kami betul-betul rasa selamat sebaik menjejakkan kaki di Port Sudan,” kata Setiausaha 1 Kedutaan Besar Malaysia di Sudan, Amirul Husni Sahar, 38.
Amirul Husni adalah antara 30 rakyat Malaysia termasuk kakitangan kedutaan, pekerja Petronas dan pelajar Malaysia di Sudan yang terperangkap ketika pergolakan di negara itu baru-baru ini.
Beliau yang ditemui sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini berkata, tiada kedengaran bunyi tembakan di pelabuhan itu dan ia selamat.
“Situasi di pelabuhan sangat selamat dan semua delegasi asing berada di pelabuhan itu dan menanti bantuan untuk diselamatkan serta dibawa keluar dari Sudan,” katanya.
Sementara itu, isteri Amirul Husni, Siti Nur Aminah Khatijah Samsudin, 37, berkata, dia bersyukur kerana tidak berdepan banyak masalah ketika dibawa keluar dari Sudan biarpun tengah sarat mengandung enam bulan.
“Alhamdulillah, saya dan kandungan selamat cuma terpaksa menempuh jalan tidak rata ketika dibawa dalam kenderaan dari Rumah Malaysia Sudan ke Port Sudan,” katanya.
Ditanya sama ada beliau ada terbayang apa-apa juadah raya ketika situasi kelam kabut itu, Amirul Husni berkata, beliau bersama rakyat Malaysia lain beruntung kerana sempat menjamah juadah raya ketika berlindung di Rumah Malaysia Sudan.
“Kami sempat sambut Hari Raya di sana (Rumah Malaysia Sudan) bagi memastikan moral antara kami kekal tinggi biarpun berada di tengah-tengah situasi getir.
“Kami sempat menjamah nasi himpit, kuah kacang, rendang, nasi minyak dan ayam masak merah pada hari itu.
“Kami makan secara normal (tanpa rasa takut) tapi tetap berhati-hati serta tidak berada berdekatan tingkap bagi mengelak peluru sesat,” katanya.
Katanya, beliau bersama rakyat Malaysia lain turut bersempatan menunaikan solat sunat Aidilfitri ketika berlindung di Rumah Malaysia Sudan itu sebelum dibawa keluar menuju ke Port Sudan.
Menceritakan semula detik konflik bermula, Amirul Husni berkata, beliau tidak menerima apa-apa amaran atau menghidu situasi tidak selamat sebelum peperangan tercetus di Sudan.
“Kami tidak hidu apa-apa dan ia (peperangan) berlaku secara tiba-tiba dan tidak dijangka.
“Bagaimanapun, kami sudah bersedia dengan bekalan makanan mencukupi dan Alhamdulillah kami cukup bersedia apabila peperangan meletus,” katanya. – UTUSAN